KUALA TERENGGANU - Seorang guru wanita ditemui meninggal dunia di rumah sewanya di Kampung Pengadang Baru dekat sini pada Isnin.
Mangsa yang berusia 55 tahun yang dipercayai meninggal lebih dari seminggu ditemui oleh pemilik rumah sewanya kira-kira jam 5.40 petang Isnin.
Menurut abang mangsa, Shahadan, 57, berkata, tuan rumah pergi ke rumah tersebut selepas mangsa gagal dihubungi.
"Sebaik sampai di rumah, dia terbau busuk dari dalam rumah dan kemudian bertindak menghubungi pihak polis," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
Menurutnya, mangsa tinggal bersendirian di rumah tersebut sejak 13 tahun lalu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut," katanya.