JOHOR BAHRU - Polis memburu suspek yang terlibat dalam jenayah pecah kedai menjual telefon bimbit di Taman Kota Masai, Pasir Gudang di sini, pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, berdasarkan rakaman video berdurasi tiga minit 16 saat yang dimuat naik melalui laman sosial facebook menggunakan akaun"Dewi Shari,” kejadian dipercayai berlaku sekitar 4.38 pagi.
Iklan
Iklan
"Pihak polis juga mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 35 tahun.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 1 Januari 2024 pada jam 4.38 pagi di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jalan Betik 1, Taman Kota Masai, Pasir Gudang.
"Barang-barang yang telah dicuri suspek adalah 16 telefon bimbit pelbagai jenis dengan anggaran kerugian sekitar RM19,161,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
"Polis kini giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah ini boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat di talian 012-7532276 atau 07-3864222 bagi membantu siasatan," katanya.