Tukar pengarah, Studio Kembara beri penjelasan

Iklan
Barisan pelakon bersama penerbit Abdul Rahman Dali (tujuh dari kiri); pengarah, Saiful Reza (dua dari kiri) dan Shahruddin (empat dari kiri) di tayangan perdana Pendekar Awang : Darah Indera Gajah di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada Selasa.

PENERBIT Mat Kilau, Studio Kembara menjelaskan hanya 30 hingga 35 peratus hasil kerja pengarah Areel Abu Bakar digunakan dalam versi penuh filem sekuel itu, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Penerbit yang juga pemilik produksi Studio Kembara, Abdul Rahman Dali berkata, baki selebihnya adalah hasil pengarahan bersama Shahruddin Dali dan Saiful Reza yang telah dipilih menggantikan Areel.

Iklan
Iklan

"Kami membuat keputusan untuk mengganti pengarah kerana melihat ada sudut-sudut boleh menjejaskan produk akhir (filem). Atas faktor itu kita ambil alih untuk siapkan.

"Hanya itu sahaja yang dibuat. Hal lain tak ada isu,” katanya ketika ditemui sebaik selesai tayangan perdana Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada Selasa.

Iklan
Shahruddin Daly (tengah).

Sebelum ini, penggambaran filem berkenaan dimulakan oleh Areel Abu Bakar namun nama pengarah itu tiba-tiba digugurkan April lalu tanpa alasan rasmi walaupun filem itu didakwa sudah disiapkan sebanyak 90 peratus.

Areel yang juga pengarah filem Walid mengakui akibat keputusan itu dirinya murung tiga hari namun hatinya terubat selepas karyanya berjaya mendapat tayangan di Los Angeles dan New York.

Iklan

Disember lalu, sewaktu majlis pengumuman runut bunyi dan trailer Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Abdul Rahman sekali lagi mengunci mulut mengenai pengarah yang bakal menyiapkan filem sekuel Mat Kilau itu.

Dia hanya menjawab nama Areel digugurkan ekoran enggan terlibat kontroversi dan babitkan sebarang perkara yang boleh menimbulkan perbahasan.

Dalam sidang media sama, pengarah dan penulis skrip, Shahruddin Daly memaklumkan, pihak produksi tidak berniat untuk berahsia mengenai senarai pelakon dan sebagainya.

Sebaliknya mengambil pendekatan untuk menyiapkan penggambaran terlebih dulu.

"Kita tidak merahsiakan pelakon, tetapi ambil keputusan untuk siapkan penggambaran dahulu.

"Bila sudah siap semuanya dengan baik, baru kita hebahkan semuanya,” ujarnya.

Ketika disoal tentang kos pembikinan filem tersebut, Abdul Rahman memberitahu setakat ini kos sudah mencecah RM15 juta termasuk kos promosi.

"Tidak dinafikan ada pembaziran yang berlaku kerana kita jalani penggambaran semula. Sebagai orang baru, kita tak ada pengalaman lagi,” katanya.

Kajian

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah adalah kesinambungan daripada naskhah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya mencipta fenomena luar biasa dengan kutipan RM97 juta pada tahun 2022.

Perjalanan filem kali ini diaduk antara fiksyen dan bukan fiksyen, membawa penonton menyaksikan usaha Tok Gajah ke Terengganu bagi mendapatkan bantuan. British yang mendapat tahu perkara itu cuba menangkap Tok Gajah dan Awang perlu memastikan misi itu terlaksana.

"Alur cerita ini bukan fiksyen tetapi diinspirasikan daripada kisah sebenarnya. Contohnya beberapa kejadian yang berlaku adalah kisah benar, tetapi nama watak itu kita fiksyenkan namanya.

"Daripada segi penggunaan dialog, saya saya tidak menekankan ayat yang terlalu baku atau klasik agar penonton lebih mudah faham selepas mendengarnya," jelas Shahruddin.

Tambahnya lagi, segala kisah benar yang disumbat dalam sekuel ini adalah berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum menghasilkan Mat Kilau.

"Saya mahu membentangkan sebuah kisah untold story, jadi saya ambil inisiatif dengan berjumpa sendiri cucu cicit pahlawan Melayu ini dan tidak hanya bersandarkan kepada buku semata-mata.

"Saya rasa kita juga perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber dan bahan lain kerana kita paparkan kisah yang belum pernah dengar. Saya rasa itu lebih menarik," katanya.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah dibintangi Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar, Wan Hanafi Su, Nam Ron, Amir Ahnaf, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amerul Affendi, Hasnol Rahmat dan ramai lagi bakal menemui penonton di pawagam pada 11 Januari