Misbun 'lanyak' pemain remaja Thailand

Iklan
Datuk Misbun Sidek 'melanyak' tiga pemain remaja Thailand ketika menjalani latihan bersama Nusa Mahsuri pada Selasa. Foto FB Nusa Mahsuri.

LEGENDA badminton negara, Datuk Misbun Sidek 'melanyak' tiga pemain remaja Thailand ketika menjalani latihan bersama Nusa Mahsuri pada Selasa.

Mereka yang terdiri daripada Punnatat Prempunpong, Nuttanon Maku dan Tonkid Saeheng 'digasak' dengan cabaran fizikal dan mental ketika latihan masuk hari kesembilan.

Iklan
Iklan

Latihan keras itu dikongsi kelab tersebut menerusi laman sosial pada Selasa.

"Memasuki hari kesembilan, kekuatan fizikal dan mental pemain-pemain remaja Thailand benar-benar teruji apabila menerima versi latihan shuttle control digabung dengan match play recover yang dikendalikan sendiri oleh Misbun," catat kelab itu menerusi hantaran di Facebook.

Iklan

Jurulatih berusia 63 tahun itu terkenal dengan 'rejim' latihan yang lasak sehingga mampu melahirkan jagoan dunia termasuk bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Roslin Hashim selain juara Seluruh England, Hafiz Hashim.

Sistem latihan Misbun itu turut menarik perhatian warganet yang teruja dengan gaya latihan berbeza tersebut.

Iklan

"Mereka dah muntah hijau ka belum!. Bukan senang nak jadi pemain terhebat dalam kelompok hebat. Kena harungi pelbagai cabaran dan latihan," komen seorang pengguna, Zul AirisNazrin.

Nusa Mahsuri pada Jumaat berkongsi ketiga-tiga pemain itu 'digasak' Misbun untuk datang ke tempat latihan seawal pagi ketika orang lain masih lena diulit mimpi.

"Seawal jam 4.30 pagi, Punnatat Prempunpong, Nuttanon Maku dan Tonkid Saeheng setakat hari ini (Jumaat) tidak pernah gagal hadir menjalani latihan.

"Malah mereka semakin berkobar-kobar apabila memperolehi ilmu baharu di gelanggang yang disediakan oleh Misbun," catat kelab itu.

Misbun meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas badan induk itu pada 28 Julai lalu memutuskan untuk menamatkan kontraknya lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Keputusan tersebut berkuatkuasa 1 Ogos selepas mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam dan dibantu Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berbanding kontrak asal Misbun berakhir hujung Disember.