IPOH - Malam di Dataran Sultan Azlan Shah di sini pada Selasa bergema dengan alunan selawat oleh 2,000 umat Islam yang hadir dari seluruh negeri.
Program anjuran kerajaan negeri bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu turut mempersembahkan qasidah dan ceramah oleh pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid.
Majlis yang dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu merupakan sebahagian daripada pengisian sempena sambutan Tahun Baharu 2024.
Acara bermula selepas solat Isyak dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Johan Tilawah al-Quran negeri Perak, Mohd Kamaruzaman Daud.
Orang ramai kemudiannya diajak berselawat dan zikir dipimpin kumpulan qasidah Majelis Rasulullah Gerik.
Program kemudiannya disusuli ceramah bertajuk 'Mindset Tahun Baru' sebelum diakhiri dengan selawat daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Hadir sama mengimarahkan program, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed.
Turut hadir, Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim.
Sambutan tahun baharu peringkat negeri telah diadakan bersekali dengan pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 di Silverlakes Village Outlet Batu Gajah dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.