Nama baharu bakal perkuat kem takraw negara

Iklan
Johor Tigris menjuarai STL Champions Cup 2019 apabila menewaskan juara bertahan Penang Black Panthers pada pentas final di Iskandar Studio Malaysia Johor Sabtu lalu.

KETUA jurulatih sepak takraw kebangsaan, Abdul Talib Ahmad mengenal pasti beberapa pemain beraksi cemerlang pada kejohanan Liga Premier Sepak Takraw (STL) dan STL Champions Cup 2019 yang berpotensi untuk diketengahkan mewakili pasukan negara.

Namun begitu, beliau menyatakan perkara tersebut akan dibawa ke dalam mesyuarat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terlebih dahulu sebelum ia diputuskan.

Iklan
Iklan

"Ada beberapa nama yang dikenalpasti mempunyai potensi untuk dibawa masuk ke skuad kebangsaan tetapi saya tidak mahu menyebut nama mereka kerana menunggu keputusan mesyuarat terlebih dahulu.

"Apa yang saya boleh katakan ialah Malaysia tidak ketandusan pemain kerana negara kita mempunyai liga yang kompetitif,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Pada musim ini STL menutup tirai dengan Perak Bison muncul sebagai juara manakala STL Champions Cup 2019 pula memperlihatkan pasukan underdog Johor Tigris menjuarainya sekali gus menafikan hasrat kemenangan hatrik juara bertahan Penang Black Panthers di pentas akhir.

Katanya, penyertaan kelab daripada Korea Selatan, Indonesia, China dan Singapura pada STL Champions Cup baru-baru memberi pendedahan kepada pemain tempatan untuk belajar sesuatu daripada mereka.

Iklan

"Benar kita lebih bagus daripada mereka tetapi ada beberapa perkara boleh dipelajari daripada pasukan-pasukan ini yang tidak dimiliki oleh kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Talib berkata, bagi 2020 tidak ada sebarang kejohanan besar melainkan Piala Raja Thailand yang bakal berlangsung pada September dan persiapan pasukan bagi menghadapi Sukan SEA 2021.

"Bagi perancangan berkaitan latihan dan program untuk pasukan sepak takraw negara kita juga menunggu hasil daripada mesyuarat antara PSM dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Hasil daripada mesyuarat itu nanti baharu kita akan tahu program-program yang diaturkan oleh MSN untuk pasukan sepak takraw negara,” katanya.

Biarpun berjaya melepasi sasaran dua pingat emas di Sukan SEA Filipina 2019 yang lepas, beliau beriltizam mahu mengubah corak permainan pemain bagi meruntuhkan tembok dominasi Thailand dalam sukan itu.