KOTA BHARU - 'Istana kayangan’ merbah jambul bukan sahaja mempunyai nilai estetika tersendiri, bahkan setiap satunya mampu mencecah harga lebih RM4,000 kerana keunikan ukiran tradisional yang sukar untuk ditandingi.
Atas dasar itu, seorang bekas pekerja firma guaman, Che Roslan Che Nasir, 55, mengambil keputusan menumpukan kerja-kerja membaik pulih sangkar burung yang sudah rosak atau usang bermula pada tahun 2018.
Che Roslan berkata, sangkar diterima daripada pelanggan untuk dibaiki terdiri daripada jenis kayu dipanggil terang arnab, bunga Pattani, Jepun dan merak yang berusia antara 10 hingga 50 tahun.
Katanya, kebanyakan sangkar tersebut berasal dari negara Thailand.
Tambahnya, ada juga sebahagian dari Malaysia yang masih lagi ‘ada harga’ walaupun berstatus terpakai.
"Pembuatan sangkar ini asalnya hasil buatan tangan, zaman sekarang sudah payah untuk mencari mereka yang masih menghasilkan sendiri sangkar burung kerana semua menggunakan mesin.
"Sangkar terpakai ini masih bernilai kerana keaslian seninya dan jika hendak hasilkan sangkar baharu, kos kayu sahaja RM500 ditambah upah tukang RM400 hingga RM500 selain aksesori yang boleh menyebabkan harga mencapai RM2,000 hingga RM3,000 atau lebih.
"Peminat burung beli sangkar lama tetapi asli buatan tangan ini dengan nilai antara RM800 dan RM900 untuk dibaiki hingga harganya menghampiri seperti baharu. Sebab itu saya ambil keputusan untuk baiki sangkar lama berbanding menghasilkan sangkar baharu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jalan Buluh Kubu di sini, pada Selasa.
Menurut Che Roslan, kerja-kerja membaiki dan mencantikkan sangkar burung memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi kerana mesti mengikut lenggok ukiran asal pada sangkar itu.
Katanya, proses memakan masa dua minggu hingga sebulan bermula dengan pembersihan atau mengikis lapisan cat, menggantikan kayu pintu dan lantai yang rosak sebelum menyembur varnis atau cat berminyak di bawah cuaca panas.
"Varnis ini ialah campuran pelarut dan bahan perekat yang bertujuan memelihara serta mengilatkan kembali kayu dan ukiran pada sangkar burung.
"Kerja-kerja membaiki juga perlu dibuat dengan berhati-hati bimbang bilah-bilah dinding patah kerana terlalu halus selain memasak kayu atau buluh untuk lebih kukuh,” ujarnya.
Kata Che Roslan, kayu untuk dibuat sangkar terdiri daripada jenis tembesu, sodam, petir, cengal, mabror dan nibong malah lebih kukuh jika menggunakan teras kayu.
"Sangkar burung merbah jambul atau candik ini akan bernilai tinggi jika dijaga dengan betul dan boleh bertahan lama hingga 10 tahun selepas dibaiki.
"Selainnya, sangkar yang mempunyai aksesori seperti kulit tiram, penyangkut ayam jantan, naga, atau kuda laut, tempat minuman, cangkut buah-buahan dan canggung yang berukir cantik serta berkeadaan baik akan menjadi rebutan peminat-peminat burung,” katanya.