BEIRUT - [DIKEMAS KINI] Timbalan ketua kumpulan pejuang Hamas, Saleh al-Arouri dilaporkan syahid dalam serangan dron rejim Zionis di Beirut, Lubnan pada Selasa.
Al-Arouri, 57, adalah pemimpin kanan politik Hamas pertama yang syahid sejak Israel melancarkan serangan udara dan darat terhadap Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.
Kematian al-Arouri dijangka meningkatkan risiko perang merebak di luar Semenanjung Gaza. Radio dan TV Hamas serta TV Mayadeen mengesahkan berita daripada sumber keselamatan bahawa al-Arouri telah syahid apabila sebuah dron Israel menyerang pejabat Hamas di selatan Beirut.
Al-Arouri, yang juga ahli biro politik Islam Palestin merupakan pengasas bersama sayap Hamas, Bridged Al-Qassam.
Secara keseluruhan, serangan dron itu mengorbankan enam individu di pinggir bandar selatan Daliyeh.
Dua sumber keselamatan berkata, dron itu menyasarkan pertemuan dan menurut TV Al Qqsa Hamas, komander sayap bersenjata kumpulan itu di Lubnan, Samir Findi Abu Amer dan Azzam Al-Aqraa Abu Ammar adalah antara yang maut.
Israel bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang pembunuhan al-Arouri itu.
Israel sebelum ini menuduh al-Arouri mengarahkan dan menyelia serangan Hamas di Tebing Barat yang diduduki Israel selama bertahun-tahun.
Al-Arouri dilaporkan berada di Lubnan dan Qatar ketika rundingan yang dijalankan oleh Kaherah dan Doha mengenai cara menyelesaikan konflik Gaza dan pembebasan tebusan.
Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati mengutuk serangan itu sebagai"jenayah israel baharu" dan cubaan untuk menarik Lubnan ke dalam peperangan.
Pejabatnya berkata, beliau meminta menteri luarnya untuk memfailkan aduan kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai semua"pelanggaran baharu Israel terhadap kedaulatan Lubnan".
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani berkata, pembunuhan al-Arouri"sudah pasti akan mencetuskan satu lagi gelombang penentangan dan motivasi untuk memerangi penjajah Zionis". - Awani