KUALA LUMPUR - Disebabkan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), beberapa pihak mengambil kesempatan dengan menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan tulisan jawi di sekolah vernakular.
Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nazir Helmi mendakwa pelaksanaan jawi hanya tiga muka surat namun mereka dengan berani berterusan membantahnya.
Tanpa berselindung, beliau mendakwa DAP bahkan MCA menggunakan isu kecil tersebut untuk menarik undi masyarakat Cina.
"Masyarakat Cina yang saya kira masyarakat bijak atas bumi Malaysia ini, mereka berniaga dengan baik, membantu kaum Melayu dan India dengan baik dengan kekuatan ekonomi mereka.
"Tapi oleh kerana kerajaan yang begitu lemah pada hari ini, mereka telah mengambil kesempatan.
"Mereka menggunakan isu kecil ini untuk menarik perhatian golongan Cina untuk mendapatkan undi,” katanya ketika berucap di hadapan peserta Himpunan Bangkit Pertahan Jawi Haramkan Dong Zong di sini semalam.
Turut hadir ialah Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa dan ratusan peserta himpunan.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan betapa tidak bermaruahnya golongan seperti itu kerana menggunakan isu tersebut demi kepentingan politik.
"Mereka tahu tak apa akibatnya? Kalau ini digunakan, ia akan menggugat perpaduan negara kita. Mereka mencucuk-cucuk, mereka menjentik-jentik, supaya kita ini dilihat tak bersama.
"Sedangkan setuju kalau saya kata kawan-kawan mahasiswa yang Cina dan India cukup baik dengan kita. Tapi mereka ini menggunakan kepentingan.
"Mereka menggugat keselamatan negara untuk memastikan mereka terus memerintah dengan fitnah dan penipuan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.