Pejam-celik, pejam-celik, genap setahun 2019 berlalu. Hari ini masuk hari kedua tahun baharu, segalanya berjalan seperti selalu, tidak ada apa yang luar biasa.
Hatta Wawasan 2020 yang beberapa dekad dulu diwar-warkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad – dan dikritik oleh pembangkang ketika itu, termasuk Lim Kit Siang – hari ini macam tidak ada apa-apa.
Bukan orang politik, dan pada usia yang semakin senja, tahun baharu bagi saya tidak ada apa-apa yang luar biasa. tidak ada azam untuk menjadi jutawan. Tidak ada cita-cita untuk menakluk dunia.
Bahawa kesempatan untuk menghela sisa-sisa nafas terakhir ini pun adalah satu rahmat yang amat disyukuri, lebih-lebih lagi setelah menyedari banyak orang keliling, termasuk yang paling kita sayangi, telah berangkat lebih awal.
Kalau ada kesempatan saya menginginkan kesederhanaan dalam segala-galanya. Kembali kepada ketenangan dan kebahagiaan zaman kanak-kanak, di kampung terpencil.
Hari-hari dilalui dengan amat santai tanpa tekanan. Bermain bersama rakan sebaya – berbilang kaum – tanpa Cina-Cina, India-India, Jawa-Jawa.
Kita sama walaupun lain agama, beza warna kulit, ada makan babi, ada makan lembu. Ada masuk jawi, ada berkulup ke sana ke mari.
Bersunat atau tidak kita tetap kawan, pagi-petang main bersama seperti abang-adik. Berlenggeng dan berkaki ayam main bola getah skerap di mana-mana kawasan lapang. Berkejaran keliling kampung, melastik buah jambu atau putik mempelam di kebun orang, berbogel main Tarzan-Tarzan di sungai.
Semuanya amat sederhana – sebenarnya amat daif – tetapi tidak ada erti perkauman, semua sama sebagai budak kampung yang nakal tetapi penuh harmoni.
Meski dalam serba miskin, ada juga nikmat dan keseronokan. Bagi saya antara nikmat itu ialah setiap petang ada apek berbasikal menggoyang loceng keliling kampung, menjual aiskrim.
Selepas hapak berpeluh berkejaran atau bermain di padang alangkah nikmatnya – hmmm – menghisap aiskrim potong berkacang merah, 5 sen sepotong.
Duit belanja sekolah sehari 10 sen; 5 sen makan nasi lemak atau kuih temosa di kantin, 5 sen lagi khas untuk beli aiskrim potong waktu petang
Kalau tidak ada duit boleh berkongsi aiskrim dengan kawan-kawan Cina atau India. Sepotong aiskrim kacang merah dihisap bergilir-gilir, tanpa jijik babi atau jijik lembu. Semua okey, bahagia...
Tentu sekali jarum jam tidak boleh diputar ke belakang. Keinginan zaman kanak-kanak itu tidak mungkin – mustahil – untuk dikembalikan sekarang.
Masa berubah, zaman berlalu dan sistem nilai pun tidak seperti dulu-dulu. Tidak ada lagi kedaifan dan kesederhanaan masa silam. Kehidupan serba mewah dan mudah.
Hatta kampung saya di Hulu Muar yang dulu dianggap solok tempat jin bertendang, kini sudah menjadi bandar stalit serba canggih.
Aiskrim potong kacang merah tidak lagi satu kenikmatan, sebab di kampung, lebih-lebih lagi di bandar, kini sudah ada pelbagai keenakan lain – KFC, McD, piza, hotdog, tealive, macam-macam.
Anak-anak tidak lagi main lastik atau terjun sungai seperti Tarzan, sebaliknya mereka bergajet pagi-petang, siang-malam. Gajet adalah kemestian kehidupan masa kini.
Tidak kira kanak-kanak, orang dewasa pun bergajet-gajet setiap masa. Maka kecanggihan siber yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan terbukti kini disalahguna untuk keburukan.
Orang bergajet dan menyebar fitnah menerusi sosial media. Siang-malam orang bersosak-sosek, mengumpat, memaki-hamun dalam media sosial.
Maka menggunakan gaget juga kebencian dan rasa perkauman yang melampau dibentuk saban detik. Tidak ada lagi keharmonian dan hormat-menghormati, sebab kebencian sengaja ditiup dan disebarkan setiap saat.
Zaman saya dulu tidak ada Cina, tidak ada Melayu, tidak ada India; yang ada hanya kawan sepermainan. Hari ini kita dipisahkan oleh NGO-NGO yang amat perkauman.
Selagi kita tebal dengan perkauman yang melampau, dan parti-parti politik berasaskan kaum sengaja saling melaga-laga kaum untuk politik, selama itulah hasrat saya untuk melihat santai dan harmoni zaman silam tidak tercapai. Kita semakin canggih, tetapi kecanggihan ternyata merosakkan kita.
Sehingga hari-hari terakhir 2019, macam-macam tidak baik kita alami. Paling terasa – dan memeritkan – ialah kenaikan mendadak harga bawang, gara-gara bekalan bawang dari India tersekat.
Kekurangan bahan penting itu – lebih-lebih lagi menjelang raya Cina – tentu meresahkan, malah ada peluang restoran menaikkan harga makanan.
Tetapi mungkin ada baiknya: mudah-mudahan dengan tiada bawang, orang kurang membawang. Selamat tahun baharu!