KLANG - Kesiapsiagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menjaga perairan negara diperkukuhkan dengan kehadiran aset baharu Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang diserahkan secara rasmi pada Selasa.
Kapal ini dilihat berkeupayaan menjadi kapal induk atau 'Mothership’ bagi memperkukuhkan lagi aset-aset sedia ada Maritim Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi berkata, kapal ini dibina dengan rekabentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter.
"Reka bentuk sebegini sekaligus memastikan kapal ini mampu melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 21 hari tanpa ulang bekal.
"Selain itu, OPV1 ini turut direka bentuk dengan memiliki kemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Rasmi OPV1 antara TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Limbungan THHE Pulau Indah, dekat sini pada Selasa.
Katanya, OPV1 ini ini turut dilengkapi Radar X dan S Band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas.
"OPV1 ini boleh menempatkan 70 anak kapal dalam satu-satu masa operasi.
"Selain itu, ia mampu melaksanakan tugas seperti bantuan kemanusian dan bencana termasuk menjadi kapal logistik, kapal pemerintah dan tempat penyimpanan peralatan pencemaran minyak,” katanya.
Ruji berkata, penyerahan OPV1 itu merupakan detik bersejarah kepada KDN khususnya Kerajaan Madani.
"Kapal peronda buatan tempatan ini siap dibina selepas beberapa kali penangguhan akibat pandemik Covid-19 dan proses membawa masuk peralatan teknikal terkini kapal yang diimport dari negara luar.
"Justeru, OPV1 diharap mampu membantu APMM memperkasakan lagi pengoperasian dalam menguatkuasakan undang-undang maritim sekali gus memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) berada dalam keadaan selamat dan sejahtera,” katanya.
OPV1 mampu mencapai kelajuan 21 knot mempunyai fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan selain dilengkapi peralatan canggih seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan, dua buah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan Fast Interceptor Craft.
Kapal ini turut melalui beberapa fasa percubaan termasuk fasa ujian di laut Selat Melaka bersama aset APMM yang terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat pada 28 November lalu.