Pahang hargai sumbangan pelbagai pihak bantu mangsa banjir - MB

Iklan
Wan Rosdy (tiga dari kiri) dan Mohammad Ahmad menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan agensi penyelamat pada Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 Yayasan Petronas di Wisma Sri Pahang pada Rabu.

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk agensi keselamatan yang bertungkus lumus menjaga keselamatan serta kebajikan mangsa banjir di negeri ini ketika bencana itu berlaku baru-baru ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai lebih 1,300 mangsa terlibat dalam bencana itu di Pahang dan kini rata-ratanya telah kembali ke rumah masing-masing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemudahan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sebelum ini juga bertambah baik termasuk kebersihan tandas yang terjaga dan sentiasa dipantau demi keselesaan mangsa-mangsa banjir.

"Syukur kali ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan di Pahang.

Iklan

"Kita juga berpuas hati dan menghargai sikap mangsa banjir yang patuh dengan arahan daripada kerajaan negeri sepanjang tempoh bencana itu termasuk yang berada di PPS di mana tiada yang balik sendiri ke rumah tanpa kebenaran.

"Kita sayangkan mangsa banjir dan arahan yang dikeluarkan adalah bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku kepada mereka," katanya.

Wan Rosdy meninjau pek barang keperluan sumbangan Yayasan Petronas bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 Yayasan Petronas di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob; Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.

Wan Rosdy turut berterima kasih atas keprihatinan pihak Yayasan Petronas yang menyumbang 1,500 pek barangan keperluan bernilai RM460,000 bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Sementara itu, Mohammad Ahmad Shazly berkata, sumbangan Pakej Prihatin terdiri keperluan asas seperti selimut, tuala mandi, biskut, makanan sedia dimakan, peralatan mandian, ubat gigi, berus gigi dan air mineral diagihkan kepada setiap keluarga dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

Beliau berkata, Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 merupakan salah satu usaha berterusan yang dijalankan Yayasan Petronas bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.

Mohammad Ahmad Shazly (kiri) menyerahkan sumbangan Pakej Prihatin berupa 1,500 pek barang keperluan kepada Wan Rosdy (dua dari kiri) untuk disalurkan kepada mangsa banjir di negeri ini.

"Sumbangan yang disampaikan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga yang berlindung di PPS.

"Selain itu, sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir, Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan.

"Sumbangan bernilai RM10,000 dalam bentuk Kad Hadiah Petronas itu disampaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang," katanya.

Tambah beliau, sejak 2019, Yayasan Petronas telah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM5 juta kepada isi rumah yang terjejas banjir.