Tin arak sengaja diletak depan pintu surau kondominium

Iklan
Penghuni juga mendakwa berhadapan dengan provokasi yang berunsur keagamaan apabila terdapat tin arak disyaki sengaja diletakkan di hadapan pintu surau perumahan terbabit.

KUALA LUMPUR - Penghuni sebuah kondominium di Setapak, ibu negara, meluah rasa kecewa dan bimbang kerana mendakwa terdapat beberapa isu provokasi berunsur keagamaan sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan mereka.

Difahamkan, penghuni kondominium itu telah membuat aduan kepada pihak pengurusan serta pengawal keselamatan namun sehingga kini tiada penjelasan atau tindakan diambil.

Iklan
Iklan

Menurut Setiausaha Persatuan Penduduk Kondominium itu, Mohd Zahrulail Md Rahim, isu pertama melibatkan dakwaan penutupan fasiliti surau selama dua hari pada 3 dan 4 Disember lalu tanpa sebarang notis.

"Surat telah dihantar oleh penduduk kepada pihak pengurusan untuk menjawab isu penutupan surau pada 10 Disember lalu, tetapi sehingga kini masih tiada maklum balas diterima.

Iklan

"Surat berkenaan mengandungi tuntutan penjelasan dalam tempoh tujuh hari mengenai penutupan surau serta amaran agar tidak sewenang-wenangnya menganggu urusan ibadah dan aktiviti keagamaan penduduk yang beragama Islam.

"Selain itu, penghuni juga mendakwa berhadapan dengan provokasi yang berunsur keagamaan apabila terdapat tin arak disyaki sengaja diletakkan di hadapan pintu surau perumahan terbabit sehingga menimbulkan rasa kurang senang terutama penduduk beragama Islam," katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.

Iklan

Mohd Zahrulail berkata, sebanyak tiga laporan polis telah dibuat berhubung isu berkenaan dan sehingga kini pihaknya masih menunggu siasatan oleh pihak berkuasa.

"Penduduk bimbang sekiranya isu provokasi keagamaan seperti ini akan mengundang situasi yang lebih buruk dan meningkatkan kemarahan mereka.

"Harapan saya dan penduduk adalah supaya kejadian provokasi seperti itu tidak berulang dan berharap pihak pengurusan kondominium telus dengan tindakan.

"Selain itu, kami juga berharap pihak polis dapat melakukan siasatan dengan terperinci berhubung isu ini," ujarnya. - Awani