LUMUT - Penduduk di Pulau Pangkor akan terus membantah penjualan minuman keras bebas cukai di pulau tersebut.
Wakil penduduk, Roslan Ahmad, 55, berkata, majoriti penduduk dan beberapa pelancong tidak bersetuju minuman keras disenaraikan sebagai barangan bebas cukai di pulau pelancongan itu.
Menurutnya, sejak September tahun lalu penduduk mengadakan himpunan aman bagi membantah cadangan berkenaan.
"Kita sudah mengutip tandatangan penduduk kampung dan beberapa pelancong yang tidak mahu minuman keras disenaraikan sebagai barangan bebas cukai.
"Kita juga menganjurkan himpunan aman untuk menyuarakan perkara sama pada 29 Disember lalu supaya kerajaan negeri kekal dengan pendirian minuman itu dikenakan cukai," katanya kepada pemberita ketika ditemui pulau itu di sini semalam.
Roslan berkata, satu memorandum akan turut dihantar kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk memaklumkan bahawa sebahagian besar penduduk di Pulau Pangkor tidak akan bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Pengusaha resort, Asmadi Teh berkata, penjualan minuman keras dan rokok tanpa cukai itu akan memberi kesan negatif kepada penduduk dan merosakkan golongan muda tempatan.
"Kita sepatutnya kekal dengan perancangan sebelum ini menjadikan Pulau Pangkor sebagai tempat percutian keluarga dan barangan dijual sesuai untuk seisi keluarga.
"Menteri Besar perlu berpegang kepada kenyataan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini bahawa minuman keras tidak tersenarai sebagai barangan bebas cukai," katanya.
Dalam perkembangan lain, Asmadi menjangkakan status Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai akan melonjakkan industri pelancongan di pulau tersebut.
Bagaimanapun katanya, kesan pelaksanaan itu pasti akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk berkembang selain sokongan pihak swasta untuk menjayakan pulau bebas cukai.