Gangguan bekalan air: Penduduk Pulau Pinang borong air mineral

Iklan
Isaac Ang sedang menyusun bekalan air mineral dalam peti ais di premisnya.

GEORGE TOWN - Peniaga di sekitar bandar ini telah membuat persediaan awal dengan menambah bekalan air mineral di premis mereka bagi menampung permintaan tinggi menjelang ketiadaan bekalan air bermula 10 Januari ini.

Law LM, 30-an berkata, sejak minggu lalu, jualan air mineral di kedainya laris bagai pisang goreng berikutan ramai pembeli memborong air mineral pelbagai jenama untuk digunakan pada tempoh tersebut.

Iklan
Iklan

Dia yang sudah 18 tahun membuka premis tersebut berkata, bermula minggu ini, dia menambah pesanan bekalan air mineral daripada 50 kotak sehingga ke 100 kotak.

"Memang sejak minggu lepas, pembeli memborong banyak air mineral berikutan pengumuman mengenai gangguan bekalan air pada minggu depan.

Iklan

"Oleh itu, bermula minggu ini sehingga dua minggu lagi, saya menambah pesanan bekalan air mineral daripada pemborong agar dapat menampung permintaan tinggi pelanggan.

"Saya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga, harga tetap sama mengikut jenama," katanya ketika ditemui di premisnya pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, penyelia pasar raya mini, Isaac Ang, 24, berkata, dia juga telah membuat persediaan dengan menempah bekalan air mineral pelbagai jenama sebagai persediaan sepanjang gangguan bekalan air selama lima hari nanti.

"Saya sudah 'order' lebih 100 karton air mineral dan bekalan akan sampai minggu depan.

"Minggu ini ada pelanggan yang datang dan membeli dalam kuantiti yang banyak namun belum ke tahap pembelian panik. Bagaimanapun, sebagai peniaga, kami tetap kena bersedia," katanya lagi.

Peniaga kedai runcit, Chew Siew Hong, 73, berkata, sejak minggu lalu, setiap hari air mineral yang diletakkan di rak habis dijual kerana permintaan yang tinggi daripada pelanggannya.

Siew Hong

"Bekalan di stor masih ada tetapi sejak minggu lalu, bekalan di rak akan habis setiap hari kerana ramai datang beli dalam kuantiti yang banyak.

"Saya sudah tambah tempahan bekalan untuk minggu ini sehingga dua minggu lagi. Ini kerana, apabila berlaku gangguan bekalan air nanti, mesti ramai yang akan 'cari' air bersih (air mineral) di kedai-kedai," katanya.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan sebanyak 590,000 akaun pengguna bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 10 hingga 14 Januari ini.

Ia termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama di negeri ini.

Kawasan yang terjejas termasuk majoriti di kawasan Seberang Perai manakala di bahagian pulau ialah Pulau Tikus, George Town, Jelutong, Gelugor, Bukit Jambul, Relau, Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

Bagaimanapun, kawasan Air Itam, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang tidak terjejas kerana kawasan tersebut mendapat bekalan air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Gangguan tersebut akan berlaku selama lima hari untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Kerja pembaikan paip tersebut melibatkan penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dalam LRA yang bocor.

Dalam pada itu, pegawai pentadbiran, Fabian Devaraj, 25, berkata, dia telah membeli 24 botol air mineral berisipadu 500 mililiter (ml) untuk kegunaan isi rumahnya.

Fabian

"Saya sudah beli 24 botol untuk kegunaan dua orang selama seminggu. Ia untuk memasak dan minum.

"Jika masih tidak cukup, saya akan beli lagi untuk persediaan sekiranya bekalan air tidak ada mengikut jadual yang ditetapkan. Mengenai harga, memang ada naik sikit tetapi tak mengapa lah, asalkan bekalan air mineral ada di pasaran," katanya.

Pegawai teknologi maklumat, Wendy Wong, 38 berkata, dia sudah membeli satu dozen air mineral botol besar sejak minggu lalu untuk kegunaan keluarganya.

Wendy Wong

"Saya tak kisah dengan harga kerana ini hal kecemasan. Air mineral ini untuk kegunaan seisi rumah, untuk masak, minum dan sebagainya.

"Bagaimanapun, saya rasa bekalan yang ada macam tak cukup, akan beli lagi minggu ini. Biar lebih, jangan tak cukup," katanya.