Orang Asli tinggal dalam bangsal elak ancaman gajah liar

Iklan
Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Bujuk, Pos Bihai terpaksa membina bangsal sementara di atas bukit selepas penempatan mereka diceroboh gajah liar. (Gambar hiasan) Foto Bernama

GUA MUSANG - Kira-kira 50 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Bujuk, Pos Bihai di sini, terpaksa membina bangsal sementara di atas bukit selepas penempatan mereka diceroboh gajah liar sejak semalam.

Seorang penduduk Ajid Anjang, 55, berkata, situasi cemas dan menakutkan itu merupakan insiden kali kedua ancaman gajah liar di kampung tersebut yang turut merosakkan tanaman diusahakan penduduk kampung.

Iklan
Iklan

"Kejadian pertama berlaku pada Oktober tahun lepas. Apabila gajah liar ini muncul kembali menyebabkan hampir 50 penduduk tidak berani berada di tempat tinggal masing-masing kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.

"Oleh itu, kami sepakat untuk tinggal sementara di bangsal dan merasakan kawasan di atas bukit ini paling selamat untuk berlindung terutama kanak-kanak dan warga emas," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Iklan

Asu Andak, 65, berkata, dia segera memaklumkan kepada jiran yang lain untuk segera berlindung di kawasan lebih selamat selepas menyedari kehadiran seekor gajah liar di kampungnya kira-kira jam 1 pagi.

"Kami sudah melaporkan kejadian terbabit kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan mengesahkan pihaknya telah menerima aduan berhubung ancaman tersebut.

"Bantuan bekalan makanan akan dihantar ke Pos Bihai hari ini. Penduduk di Kampung Bujuk juga akan mendapat bantuan.

"Kami juga berharap mendapat kerjasama daripada pihak Perhilitan dalam menangani masalah gajah liar di kampung terbabit," katanya. - Bernama