Isu tunggakan gaji: Bagaikan tiada kesudahan

Iklan
Izham Ismail

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menyifatkan biarpun memasuki tahun 2020 tetapi arena bola sepak negara masih dihantui masalah isu tunggakan gaji yang belum menampakkan penyelesaian sebaliknya terus diperdebatkan.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, pihaknya melihat perkara tersebut sebagai satu isu utama sekiranya tidak diselesaikan akan menjejaskan masa depan para pemain yang juga aset kepada pasukan dan negara.

Iklan
Iklan

"Kita menyambut baik mana-mana pasukan yang sentiasa berusaha untuk menyelesaikan tanggungjawab mereka. Bagi pasukan-pasukan yang masih berhutang, saya menggesa untuk terus berusaha selesaikan hutang sebelum musim bermula.

"Percayalah, sekiranya hutang ini tidak diselesaikan sebelum bermulanya musim baharu, bebanan ini akan terus menjerat pasukan dan kemungkinan pasukan akan terperangkap dalam krisis hutang yang baharu,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, semalam.

Iklan

Lebih mengecewakan menurut Izham, masih terdapat pasukan yang kini rancak membuat persiapan mengharungi saingan Liga-M dengan menandatangani pemain baharu.

"Perkara inilah sebenarnya yang membuat kami para pemain berasa amat kecewa dan seolah-olah teraniaya dengan janji-janji manis pasukan. Tambah pula mereka ini adalah pasukan-pasukan besar dan masing-masing mempunyai wakil dalam kepimpinan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia).

Iklan

"Secara tak langsung ia memberi perspektif tidak baik kepada FAM dan MFL sekiranya pasukan-pasukan ini terus dibenarkan bersaing sekalipun terpalit dengan hutang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap tindakan tegas diambil terhadap pasukan yang masih berhutang dengan pemain dan merasakan ia masa terbaik bagi membetulkan masalah tersebut.

"Ini masa terbaik untuk menghukum dan mendidik. Ini masa terbaik untuk kita mulakan saingan liga dengan Buku 555 yang kosong. Ini masa terbaik untuk kita buktikan kepada semua bahawa bola sepak Malaysia masih ada ruang untuk diletakkan sebuah impian dan harapan.

"Ingatlah, bagi para pemain dan bola sepak lebih dari sekadar sukan. Inilah sebuah kehidupan,” katanya.