Mara terima lebih 104,000 permohonan kemasukan ke MRSM

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerima lebih 104,000 permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu dan Empat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, permohonan tersebut melibatkan 55 MRSM sedia ada di seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Kita mempunyai kapasiti untuk Tingkatan Satu sebanyak 7,282 manakala Tingkatan Empat kira-kira seribu lebih (kuota) sahaja.

"Ini menunjukkan masyarakat masih memandang tinggi dan mahu hantar anak-anak ke MRSM," katanya dalam program Wacana Sinar edisi 426 bertajuk 'MRSM Untuk B40 Sahaja?' yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Turut diundang sebagai panelis ialah bekas guru MRSM, Nur Aziera Mohd Ramli dan Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara), Mohd Fadzli Yusof manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai cadangan pelarasan antara Bahagian Pendidikan Menengah Mara dan Bahagian Pendidikan Menengah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Asyraf Wajdi berkata, perkara itu boleh memberi kedua-dua impak positif dan negatif.

Iklan

Beliau menjelaskan, persaingan antara dua institusi berkenaan boleh menjadikan kualiti pelajar lebih baik, namun akan berlaku perebutan pelajar crème de la crème (terbaik dalam kalangan terbaik) yang turut memberi kesan kepada prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Agenda kita adalah agenda nasional (iaitu) untuk membangunkan anak bangsa yang cemerlang, bersifat holistik. Falsafah MRSM dan pendidikan negara tiada beza (iaitu) melahirkan generasi seimbang.

"Paling penting kita kerjasama, sebab itu MRSM buat 'benchmark study' (kajian penanda aras) dengan sekolah SBP terbaik supaya boleh lihat apa kelemahan yang boleh ditampung.

"Ini antara perkara yang diambil serius untuk menyelaraskan, kalau boleh peperiksaan tidak jauh beza. Kita dahulukan tawaran 'crème de la crème' terbaik, tetapi tidak semestinya mereka akan kekal di MRSM. Kalau dapat tawaran SBP, boleh keluar pada bila-bila masa," jelasnya.