Pengawal keselamatan tapak perkhemahan mati dibunuh

Iklan
Lokasi seorang pengawal keselamatan tapak perkhemahan di Gunung Lang ditemui mati dipercayai dibunuh pada Rabu.

IPOH - Seorang pengawal keselamatan ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah tapak perkhemahan di Gunung Lang dekat sini pada Rabu.

Keadaan lelaki warga tempatan berusia 41 tahun itu disedari orang awam sebelum memaklumkan kepada polis sekitar jam 2.30 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan cedera di tepi pagar tapak perkhemahan tersebut.

"Pemeriksaan kemudiannya mendapati, mangsa bertugas sebagai pengawal keselamatan di tapak berkenaan.

Iklan

"Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa disebabkan penyakit jantung dengan beberapa kecederaan akibat objek tumpul dan tajam," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, operasi awal digerakkan telah berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes itu di Kampung Manjoi pada jam 1.45 petang.

Iklan

Katanya, suspek berusia 31 tahun dan tidak bekerja itu mempunyai 10 rekod jenayah dan narkotik serta pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

Gerakan awal polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai suspek utama kes di Kampung Manjoi pada Rabu.

"Saringan awal air kencing mengesahkan suspek positif methamphetamine. Dipercayai semasa kejadian, hanya suspek dan mangsa berada di tempat kejadian.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis akan mendapatkan perintah reman ke atas suspek esok (Khamis) bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.