TEMERLOH - Sudah lebih 30 tahun penduduk di Kampung Paya Kecik di sini berdepan bau busuk daripada Sungai Chengal yang terletak dekat jalan utama kampung tersebut.
Situasi itu terpaksa dihadapi setiap kali selepas air pasang besar selain didakwa berpunca daripada kumbahan taman berhampiran yang menyebabkan air bertukar menjadi hitam buat seketika waktu.
Antara yang sangat terjejas seorang warga emas, Mostapah Mohamad, 70, bersama keluarganya yang tinggal berhampiran sungai tersebut.
Dakwanya, bau busuk itu dihadapi 24 jam setiap hari dan berlanjutan sehingga seminggu.
"Lali memang sudah lali, dah lebih 20 tahun saya tinggal di kampung ini tapi berharap juga masalah ini dapat diatasi," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Abdul Aziz Abdul Bakar memberitahu, sudah banyak aduan dibuat kepada beberapa pihak berkaitan namun dakwanya masih belum diatasi hingga sekarang.
"Baunya sangat menyengat dan menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk.
"Kalau dulu memang jadi lokasi penduduk mencari pendapatan tambahan mencari ikan tapi bila dah jadi begini, siapa nak pergi memancing," jelasnya terdapat lebih 300 penduduk di kampung itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Hassanuddin Salim memberitahu, pihaknya sudah merujuk masalah tersebut kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Kita dimaklumkan satu pasukan akan dihantar untuk menyiasat punca masalah ini dan berharap ia segera dilakukan," tambahnya.