Haiwan di zoo Gaza menderita kebuluran

Iklan
Pekerja zoo menunjukkan seekor monyet yang mati akibat kebuluran. Foto Agensi

GAZA CITY - Gambar singa kurus kering sedang memakan sisa makanan dan bangkai monyet di zoo Gaza yang menjadi medan pengeboman berterusan tentera Israel, meruntun hati netizen apabila haiwan itu turut menerima nasib sama seperti penduduk di wilayah Gaza, lapor Dailymail.

Singa, monyet, burung kakak tua dilihat bergelut untuk mendapatkan makanan serta rawatan perubatan di Zoo Rafah, Genting Gaza, lebih dua bulan konflik Hamas-Israel yang tidak menunjukkan kesudahannya.

Iklan
Iklan

Segelintir haiwan lain dilaporkan mati akibat kebuluran teruk manakala yang lain seperti 'bangkai bernyawa' sejak pemilik zoo persendirian tidak dapat menyediakan makanan secukupya kepada haiwan peliharaan itu.

Pemilik zoo, Ahmed Gomaa berkata, empat ekor monyetnya telah mati dan seekor lagi sangat lemah sehingga terpaksa disuap makanan.

Iklan

Malah, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap dua ekor anak singa yang mana ibunya telah kehilangan separuh berat badannya akibat tidak mendapat makanan rutin seperti daging ayam yang secukupnya.

"Kami terpaksa memberi mereka roti kering yang direndam bagi memastikan mereka hidup. Situasi sangat dahsyat," katanya.

Iklan

Menurut doktor haiwan Sofian Abdeen berkata, kebuluran di zoo sangat dahsyat dan masalah ini semakin berleluasa kerana tiada makanan untuk diberikan kepada haiwan tersebut.

Ketika ini, hampir 2.3 juta penduduk Gaza telah diusir keluar dari rumah mereka akibat pengeboman berterusan Israel yang menyebabkan sebahagian besar wilayah itu musnah.

Ramai penduduk terpaksa tidur di tepi jalan dan lot kosong di selatan bandar Rafah.

Malah, segelintir mereka terpaksa berkongsi pagar dengan kandang haiwan zoo selepas rumah mereka hancur dibom tentera zionis.

"Banyak keluarga yang menumpang di sini. Sekarang semua keluarga kami tingga di zoo," kata Ahmed.

Laporan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu telah memberi amaran bahawa penduduk Gaza berdepan kebuluran dahsyat.

Ia ditambah pula, tindakan Israel menghentikan semua import makanan, ubat-ubatan, bahan api ke Gaza sejak konflik bermula 7 Oktober lalu. - Agensi