TOKYO - Penerbangan antara bandar Sapporo dan Lapangan Terbang Haneda merupakan laluan udara paling sibuk di Jepun.
Namun, ia digemparkan dengan insiden pertembungan antara pesawat komersial, JL516 yang membawa 379 penumpang dengan pesawat pengawal pantai di landasan pada Selasa yang nyata ‘membingungkan’ pakar penerbangan.
Kejadian tersebut menyebabkan lima daripada enam kru pesawat pengawal pantai berkenaan terbunuh.
Satoshi Yamake, 59, yang dalam perjalanan pulang ke Tokyo selepas melawat ahli keluarga di kampung halamannya turut berkongsi detik menakutkan itu.
Menurutnya, pesawat Airbus A350 itu tergelincir dari landasan sebelum dia terdengar bunyi dentuman dan gegaran yang kuat secara tiba-tiba.
"Saya melihat ke luar tingkap dan ternampak enjin terbakar,” katanya.
Sementara itu, menurut Japan Airlines (JAL), perlang-garan tersebut berlaku sejurus pesawat mendarat pada jam 5.46 petang (waktu tempatan).
Jelasnya, juruterbang telah diberi kebenaran untuk mendarat dan dipercayai tidak dapat melihat kelibat pesawat peronda Bombarier Dash-8 yang bersaiz lebih kecil.
"Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian tersebut yang disifatkan sebagai luar biasa oleh pakar penerbangan,” ujar jurucakap syarikat penerbangan itu lagi.
Pengeluar Airbus berpusat di Perancis juga mengesahkan mereka akan menghantar pasukan pakar bagi membantu siasatan pihak berkuasa tempatan.
Difahamkan, pesawat pengawal pantai itu sedang dalam persediaan untuk terbang ke wilayah Ishikawa bagi menghantar bekalan selepas gempa kuat pada tahun baharu yang meragut sekurang-kurangnya 62 nyawa.
Perdana Menteri, Fumio Kishida memuji pengorbanan kru yang mahu membantu mangsa gempa.
"Mereka yang terkorban mempunyai semangat dan tanggungjawab yang tinggi untuk menghulurkan bantuan di kawasan terjejas bencana,” katanya.
DETIK CEMAS
Keadaan di dalam JL516 dilaporkan agak riuh-rendah selepas ia mula diselubungi asap setelah kebanyakan penumpang mula panik selepas pelanggaran tersebut berlaku.
"Tolong bawa saya keluar dari sini. Kenapa tidak buka sahaja pintu kecemasan,” jerit seorang wanita menerusi rakaman video yang dikongsi salah seorang penumpang dan menjadi tular.
Tsubasa Sawada, 28, yang baru kembali daripada bercuti di Sapporo juga menyangka ajalnya sudah tiba.
Namun, tindakan pantas atendan penerbangan meminta kesemua penumpang bertenang dan memberi kerjasama telah menyelamatkan mereka.
Di luar pesawat, kira-kira 115 anggota bomba dikerahkan ke landasan berkenaan untuk mengawal kebakaran di bahagian belakang sebelum ia menyambar seluruh badan pesawat seperti bebola api.
Yamake yang duduk dekat bahagian hadapan pesawat menceritakan detik cemas ketika kru melakukan operasi pemindahan segera menggunakan gelongsor kecemasan.
"Proses itu dapat dilakukan dalam tempoh kurang daripada 20 minit,” menurut Japan Airlines dalam satu kenyataan.
Pengarah Keselamatan Udara di syarikat perundingan penerbangan berpusat di Britain, Paul Hayes berkata, kru kabin telah melakukan tugas mereka dengan sangat baik.
"Ia sememangnya satu keajaiban kerana kesemua penumpang dapat dibawa keluar dengan selamat dalam waktu yang singkat,” jelasnya.
Kementerian Pengangkutan Jepun juga senada dengan Hayes apabila mengesahkan prosedur pemindahan kecemasan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.
Menurut Sawada, pesawat itu meletup kira-kira 10 minit selepas mereka dipindahkan."Saya sememangnya bernasib baik. Kami mungkin terkorban jika terlambat sesaat.
"Saya mahu tahu bagaimana kejadian ini berlaku dan saya tidak mahu menaiki pesawat lagi,” katanya yang masih trauma dengan insiden itu. - Agensi