GERIK - Seekor harimau belang dikesan berkeliaran di kawasan Kampung Kuala Kenering dekat Lenggong di sini sejak Rabu.
Kehadiran haiwan pemangsa itu disedari penduduk yang melalui kawasan berkenaan sekitar jam 8.30 malam dalam keadaan seperti kelaparan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusuff Shariff ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, haiwan itu turut menyerang seekor anjing berdasarkan kesan cakaran pada binatang tersebut.
"Satu pasukan telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi tujuan pemantauan dan rondaan keselamatan.
"Tindakan awal telah dilakukan dengan menembak dan membakar mercun bagi tujuan menghalau harimau itu dari kawasan penempatan penduduk," katanya.
Menerusi perkongsian di Facebook, haiwan itu tidak menyerang sebaliknya hanya berjalan berkeliaran di sebuah kawasan longgokan sampah.
Saksi kejadian, Mohammad Jalil Md Rodzi, 32, berkata, keadaan haiwan itu kelihatan seperti kelaparan apatah lagi dengan saiz yang kurus seperti tidak cukup makan.
"Sewaktu disuluh lampu kenderaan, harimau itu tidak bertindak agresif, hanya mundar-mandir di sekitar longgokan sampah itu.
"Selepas kira-kira empat minit, haiwan itu beredar masuk ke kawasan kebun," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Mohammad Jalil berkata, kelibat harimau di kawasan itu bukan pertama kali kerana sudah ada penduduk pernah terserempak haiwan sama berkeliaran bulan lepas.
"Cuma sebelum ini tiada bukti, mereka tidak sempat ambil gambar," katanya.