BALING - Seorang warga emas maut manakala cucu perempuan cedera selepas motosikal yang dinaiki terlibat nahas dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Kuala Pegang-Parit Panjang kira-kira 5.30 petang Rabu.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mohamad Norzizan Ismail, 61, maut akibat kecederaan dalaman badan dan cucunya, Nur Damia Qaisara Norazlimi, 9, mengalami luka di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, ketika kejadian, kenderaan pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari arah Kuala Pegang menghala ke Parit Panjang.
Mangsa, Mohamad Norzizan dan cucunya pula menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Hospital Baling menghala ke Sik.
"Apabila sampai di tempat kejadian iaitu di Kampung Mengkuang Masjid, kereta dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun telah membelok masuk ke kanan iaitu ke sebuah stesen minyak.
"Setelah itu, mangsa yang mengekori dari belakang tidak lepas memotong kereta yang ketika itu sedang membelok masuk ke stesen minyak yang berada di sebelah kanan jalan dan terlanggar di bahagian sisi sebelah kanan kenderaan di laluan bertentangan,” katanya.
Akibat kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Lela, Kuala Pegang mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat manakala pembonceng iaitu cucunya dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.