PM ucap takziah pada Iran, gesa dalang diheret ke pengadilan

Iklan
Mayat mangsa yang terbunuh dalam dua siri letupan bom berlaku berhampiran makam Qasem Soleimani, jeneral tentera Iran yang terbunuh pada 2020, di sebuah hospital di bandar Kerman, selatan Iran pada Rabu. Foto AFP

KUALA LUMPUR - Malaysia mengucapkan takziah kepada Iran dan rakyatnya berikutan insiden pengeboman di Wilayah Kerman, bahagian tenggara negara itu yang meragut hampir 100 nyawa, pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook berkata, Malaysia turut berdukacita dan bersolidariti atas insiden berkenaan yang telah mengakibatkan lebih 200 orang cedera.

Iklan
Iklan

"Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa.

"Sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan yang terbaru di Lubnan dua hari yang lalu," katanya.

Iklan

Menerusi catatan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga menggesa agar dalang aksi ganas tersebut diheret ke muka pengadilan.

Anwar berkata, sempena tahun baharu, Malaysia ingin mengajak dunia untuk bersama-sama membantah budaya ganas dan rakus seterusnya menyelamatkan kemanusiaan sejagat.

Iklan

Menurut laporan media antarabangsa, dua siri letupan bom berlaku berhampiran makam Qasem Soleimani, jeneral tentera Iran yang terbunuh pada 2020.

Insiden itu dilaporkan berlaku ketika orang ramai berkumpul dalam sebuah majlis berhampiran makam berkenaan bagi memperingati ulang tahun keempat kematian Soleimani. - Bernama