KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Johor bermula hari ini hingga Ahad.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, amaran itu melibatkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Iklan
Iklan
Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramal berlaku sehingga Ahad melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).
Sementara itu, laporan terkini situasi bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan, berdasar tinjauan di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai masih berada pada paras bahaya pagi ini iaitu Sungai Arau, Perlis dengan trend meningkat dan Sungai Kelantan di Pasir Mas, Kelantan yang menunjukkan trend menurun.
Menurut Nadma, 19 jalan ditutup akibat banjir, cerun runtuh dan kerosakan antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Sungai Sam ke Dabong di Jeli, Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak, Perak dan Jalan Kota Tinggi-Kluang di Johor. - Bernama
Artikel Berkaitan