Bersatu Bangi tolak permohonan maaf Koo Ham

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 30 Disember lalu. Gambar kecil: Wan Saiful

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bangi menolak permohonan maaf Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang menarik balik cadangan supaya orang bukan Islam dilantik ke jawatankuasa berkaitan urusan orang Islam.

Ketua Bersatu Bahagian Bangi, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Bersatu bahagian itu juga menolak alasan-alasan yang diberikan oleh DAP mengenai perkara tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau turut mendakwa bahawa ia adalah taktik lama DAP dan menjadi kebiasaan melontarkan pandangan yang mengancam perpaduan negara, kemudian menarik balik atau mohon maaf begitu sahaja.

"Bersatu (Bahagian) Bangi mengecam sikap ambil mudah (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan - Barisan Nasional) yang sehingga hari ini tidak mengambil sebarang tindakan serius terhadap Ngeh (Koo Nam) dan DAP.

Iklan

"Jika pemimpin atau aktivis Bersatu bercakap mengenai hak orang Islam dan Melayu, maka pelbagai agensi dikerah mengambil pelbagai tindakan segera.

"Tetapi apabila DAP biadap, mohon maaf sambil lewa melalui Facebook sahaja nampaknya sudah cukup bagi Anwar dan UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Koo Ham sebelum ini dilapor membuat saranan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Susulan cadangan tersebut, Pengerusi DAP Perak itu mendapat kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin Islam dalam negara.

Dalam pada itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj turut mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Wan Saiful berkata, Bersatu Bahagian Bangi menyokong penuh dan menjunjung titah Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Ujarnya, Bersatu bahagian itu menyeru seluruh rakyat Selangor dan seluruh negara bersama-sama menjunjung titah Sultan Selangor dan dalam masa sama mendesak agar ada ketegasan dalam isu tersebut dari dua sudut.

"Pertama, pihak berkuasa, baik PDRM mahupun SKMM mesti membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap ahli Parlimen DAP yang sengaja menyentuh isu 3R.

"Kedua, para pemimpin UMNO perlu mengambil sikap tegas dan berusaha kembali menjadi jantan dengan cara menarik sokongan daripada Anwar Ibrahim sekiranya dia terus berlembut dengan kebiadapan DAP," katanya.