Belum ada keputusan naik taraf lesen motosikal B2 kepada B - MOT

Iklan
Kementerian Pengangkutan (MOT) belum membuat keputusan mengenai cadangan supaya menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B, secara automatik. - Foto Bernama

SEREMBAN - Kementerian Pengangkutan (MOT) belum membuat keputusan mengenai cadangan supaya menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B, secara automatik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sememangnya telah ada kajian mengenainya, namun masih di peringkat perbincangan kerana banyak perkara perlu diteliti.

Iklan
Iklan

"Keputusan belum dibuat. Memang ada kajian dan pelbagai pandangan, kita belum lagi putuskannya lagi, masih di peringkat perbincangan sekarang.

"Yang kita telah laksanakan ialah menggabungkan ujian teori untuk kelas B2 dan D. Maksudnya bila telah ambil ujian teori semasa mengambil lesen motosikal, dia tak perlu lagi ulangi ujian itu untuk mengambil lesen D," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir menyampaikan sumbangan di Sekolah Menengah Kebangsaan St Paul di sini pada Khamis.

Iklan

Bagaimanapun katanya, untuk menggabungkan kategori lesen B dan B2 itu memerlukan kajian menyeluruh serta memerlukan pelbagai pandangan.

Ini kerana katanya, menunggang motosikal biasa dan motosikal berkuasa tinggi adalah berbeza.

Iklan

"Kita nak melihat sejauh mana yang sudah dapat lesen B2 itu mampu untuk membawa motosikal berkuasa tinggi. Jadi itu ada sedikit kebimbangan pelbagai pihak," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada MOT untuk diteliti terlebih dahulu.

Katanya, tiada ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.