JELI - Jambatan Bailey dibina bagi memberikan kemudahan kepada penduduk dan pengguna jalan Jeli-Kuala Balah berhampiran Kampung Kubur Datuk di sini yang runtuh akibat banjir
Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik berkata, pembinaan itu bermula pada Khamis dan dijangka siap 10 Januari ini.
"Sebuah kenderaan sahaja yang boleh menggunakan laluan tersebut dalam satu-satu sama secara bergilir-gilir," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurut beliau, apabila jambatan itu siap, ia akan memberikan kemudahan urusan harian penduduk termasuk pengguna.
"Ini merupakan langkah awal bagi membantu meringankan beban penduduk yang terjejas sejak jalan itu runtuh.
"Selepas ini kerajaan akan menyelesaikan sepenuhnya masalah itu dengan melakukan penggantian pembetung secara kekal," katanya.
Sinar Harian Online pada Isnin melaporkan lebih 2,000 penduduk terputus hubungan selepas jalan Jeli-Kuala Balah berhampiran Kampung Kubur Datuk runtuh.
Runtuhan itu dipercayai berlaku sekitar jam 4 petang yang menyaksikan laluan itu ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.