Kerosakan di Terminal Sentral Kuantan sedang dibaik pulih

Iklan
Kerja pemasangan mozek dilakukan di ruang ketibaan terminal terbabit. Hanya satu eskalator yang berfungsi manakala satu lagi dalam proses pembaikan dan dijangka selesai sebelum akhir bulan ini

KUANTAN - Terminal Sentral Kuantan (TSK) sudah melaksanakan hampir 75 peratus kerja-kerja penambahbaikan dari segi kebersihan dan kemudahan di terminal terbabit setakat Isnin.

Pengurus TSK, Khairul Amilin Abdul Halil berkata, baki 25 lagi proses penambahbaikan membabitkan eskalator rosak dan lantai tandas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun kedua-kedua kemudahan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka diselesaikan sebelum akhir bulan ini.

"Untuk eskalator, kita akan menerima alat gantinya dalam masa terdekat. Selepas itu, baru kerja penyelenggaraan dan proses penggantian dapat dilakukan dengan segera.

Iklan

"Malah, kita juga dalam proses untuk jubin di dalam tandas terminal dan ia sekali gus menyelesaikan masalah lantai tandas menggelupas," katanya pada Khamis.

Pada Isnin lalu, Sinar Harian menyiarkan laporan penularan berapa keping gambar di media sosial berhubung keadaan terminal yang memuaskan.

Iklan
Ruang menunggu kelihatan bersih selepas isu kebersihan tular di Facebook pada Isnin.

Susulan itu, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Pahang, Sim Chon Siang turun padang meninjau keadaan terminal dan meminta pihak pengurusan TSK segera melakukan pembersihan.

Selepas itu, Datuk Bandar Kuantan, Datuk Razihan Adzharuddin turut membuat lawatan dan bersetuju mengambil inisiatif bagi membantu pengurusan TSK membaik pulih kemudahan bagi keselesaan orang ramai terutamanya fasiliti tandas serta surau.

Dalam pada itu, Khairul Amilin memberitahu beberapa kemudahan lain seperti mozek lantai di balai ketibaan terminal tersebut sudah dibaiki pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun ujarnya, pihak TSK akan meningkatkan kekerapan kerja-kerja pembersihan mengikut keadaan semasa.

"Semua tindakan diambil bagi memastikan pengguna terminal berada dalam keadaan yang selesa.

"Jadi, kita mengharapkan tidak berlaku sebarang vandalisme terhadap kemudahan yang disediakan di terminal ini supaya semua pengguna memperolehi manfaat dengan lebih lama," katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Norkamawati Kamal berkata, sebanyak RM100,000 akan dibelanjakan bagi membaiki tandas dan surau di terminal terbabit.

Menurutnya, kerja penambahbaikan itu akan dilakukan selepas selesai proses melantik kontraktor.

"Kita kena lantik kontraktor dulu selepas itu kerja menggantikan lantai, jubin mangkuk tanda, pintu dan sinki yang rosak akan terus dilaksanakan," ujarnya ringkas.