BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan berbincang dengan pengurusan tertinggi kementerian tersebut untuk mengadakan pertandingan mereka bentuk pembangunan semula secara terbuka bagi projek perumahan rakyat (PPR) di seluruh negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian berhasrat untuk menyediakan bangunan PPR di negara ini dengan ciri-ciri dan reka bentuk tersendiri yang dihasilkan oleh arkitek bertauliah.
"Dengan projek pembangunan semula Pasar Awam Bukit Mertajam ini, saya akan bincang dengan pengurusan tertinggi kementerian supaya PPR juga akan dibuat perkara yang sama.
"Mungkin akan ambil cara yang sama iaitu satu pertandingan mereka bentuk pembangunan semula secara terbuka dibuat untuk PPR. Rekaan tercantik, mesra alam, berdaya huni serta manusiawi akan dipilih.
"Ini sangat penting supaya kita dapat lihat pada masa akan datang PPR mempunyai satu reka bentuk yang menarik," katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah PAM-MBSP Pertandingan Idea Rekabentuk Senibina Pasar Awam Bukit Mertajam di Bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai di sini pada Khamis.
Bagaimanapun katanya, keputusan mengenai perkara itu akan dibuat pada tahun ini berikutan ia perlu dilihat dari pelbagai sudut termasuk mengadakan kajian kebolehlaksanaan.
"Setelah berbincang dengan Datuk KSU, kita yakin ia mampu dilakukan namun ia memerlukan perbincangan yang teliti terutamanya daripada segi keselamatan.
"Selain itu, kita perlu membuat kajian kebolehlaksanaan kerana PPR adalah bangunan bertingkat berstrata. Berlainan dengan bangunan pasar, biasanya ia dua tingkat sahaja. Senang untuk mereka bentuk.
"Bagaimanapun, jika didapati konsep tersebut memang boleh dilaksanakan pada bangunan PPR, kita akan buat. Saya harap semua prasarana awam dengan di bawah KPKT akan menjadi mercu tanda yang menarik dan menjadi kebanggaan negara," tambahnya lagi.
Mengulas mengenai pembangunan semula Pasar Awam Bukit Mertajam, Kor Ming berkata, beliau telah mencadangkan satu pertandingan reka bentuk pasar berkenaan dengan kerjasama Persatuan Arkitek Malaysia (PAM).
"Tahun lalu, KPKT telah meluluskan peruntukkan RM24 juta kepada MBSP bagi projek pembangunan semula pasar berkenaan.
"Ia terdiri daripada lima komponen iaitu bangunan utama, tempat meletak kereta berbumbung, lintasan pejalan kaki, landskap serta infrastruktur yang lebih selamat dan mampan," katanya.
Sehubungan itu, Kor Ming berkata, KPKT akan mengadakan pertandingan sama pada semua projek pasar awam yang berskala besar di seluruh negara.
Kata beliau, ia bagi memastikan pasar awam mempunyai ciri-ciri tersendiri yang istimewa, menarik serta berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"KPKT akan menyediakan RM110 juta dana khas untuk menaik taraf pasar awam di seluruh negara. Bermula dari sekarang, setiap pembinaan semula pasar awam baru yang berskala besar seperti Kompleks Pasar Bukit Mertajam akan menggunakan konsep pertandingan reka bentuk secara terbuka.
"Bayangkan 10 tahun akan datang Malaysia akan mempunyai pasar awam yang mempunyai ciri-ciri tersendiri yang istimewa, menarik dan juga berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan malah hasil cetusan ilham dan idea itu juga penuh inovatif serta kreatif," katanya.
Pasar Awam Bukit Mertajam terletak di Jalan Pasar, Bukit Mertajam dibina kira-kira tahun 1970-an di tapak seluas 57,440 kaki persegi yang menempatkan 291 peniaga berlesen dan 99 peniaga di sekitar kawasan bangunan pasar tersebut.
Bagaimanapun, pada 4 Februari 2014, pasar tersebut terbakar di tingkat satu yang disewakan kepada sebuah pasar raya.