Daripada ukiran batu nisan ke kanvas seni

Iklan
KARYA Fauziah 2015 yang dihasilkan daripada kisah adik Aleng mempunyai cerita tersendiri.

Aleng Tohara beriltizam perluaskan bakat hingga ke persada dunia

SEJAK berusia 12 tahun lagi, Aleng Tohara sudah berjinak-jinak dalam seni bermula dengan ukiran kerawang dan nama pada batu nisan di sebuah bengkel milik jirannya di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor, Selangor.

Hampir setiap malam dan hujung minggu, masa terluangnya diisi dengan membantu Allahyarham bapanya menyiapkan tempahan batu nisan. Bermula dari saat itu, minat mendalam dalam bidang seni lukis mula terpupuk.

Iklan
Iklan

Mengimbas kembali sejarah penglibatan dalam bidang seni, pemilik nama sebenar Abdul Jalil Toha @ Tohara yang berusia 45 tahun itu tidak menafikan, dorongan kuat juga datang daripada arwah abang dan bapa saudaranya.

"Keterujaan mengekperimentasikan seni abstrak pada kanvas polos disemarakkan dengan kejayaan hasil seni arwah abang yang ketika itu melanjutkan Ijazah Sarjana Muda (Seni Halus) UiTM.

Iklan

"Semangat saya ketika itu cukup tinggi lebih-lebih lagi bapa saudara pula seorang pensyarah bidang sama di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Meskipun bersekolah agama, namun minat mendalam tidak menghalang untuk saya belajar seni secara sendiri,” ujarnya.

ALENG menuntut ilmu seni bersama pelukis terkemuka, Yusof Gajah.

Menariknya, meskipun anak kelahiran Sabak Bernam Selangor itu tidak memiliki sebarang pendidikan formal dalam bidang seni lukis namun pemilik jenama Paintalengtohara tersebut mampu berdiri setanding pelukis terkemuka negara.

Iklan

"Meskipun saya memiliki diploma pendidikan, ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan maklumat dan kini sedang melanjutkan pendidikan ke peringkat sarjana, semua itu tidak menghalang saya untuk terus berkarya.

"Karier saya dalam bidang seni mula berkembang pada tahun 2003 selepas teruja melihat karya lukisan yang tergantung di rumah pelanggan dan ketika itu, saya aktif sebagai jurumekap majlis perkahwinan secara sambilan,” katanya.

Tutur bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sabak Bernam, ketika itu, dirinya mula memahami erti seni sebenar dan mula jatuh cinta dengan lukisan abstrak.

"Sebenarnya, saya sukakan kelainan. Lebih memilih medium campuran dan abstrak kerana warnanya yang kekal serta vibrant selain lebih cepat kering berbanding warna minyak.

"Lagi satu, saya terdorong untuk terus aktif apabila melihat ramainya artis tempatan yang kreatif menghasilkan rona unik penuh cerita di pameran-pameran sekitar Lembah Klang,” kongsi anak kedua daripada enam beradik itu.

KARYA Fauziah 2015 yang dihasilkan daripada kisah adik Aleng mempunyai cerita tersendiri.

Mahakarya

Mengulas lebih lanjut mengenai karya Aleng Tohara, hasil contengan dan oles warna berdasarkan cerita hati itu berjaya menarik perhatian pencinta seni lain bahkan karya seninya terjual pada awal pembabitan seni abstrak.

"Saya bagaikan tidak percaya apabila karya seni pertama saya dibeli orang. Mungkin elemen puitis dan imaginasi berdasarkan cerita kerana setiap hasil ciptaan memiliki jalan ceritera tersendiri.

"Salah satu keunikan seni abstrak ini, saya hanya menggunakan tangan, jari dan kuku untuk menghasilkan satu mahakarya tanpa sebarang penggunaan berus,” katanya yang turut menghasilkan lima antologi puisi dan buku kanak-kanak.

Aleng memberitahu, penglibatan dalam Pameran Seni Yayasan Usman Awang pada 18 Januari nanti katanya, berikutan beliau berjaya menghasilkan dua karya iaitu Kelopak Rasa dan Dari Bintang ke Bintang yang berdasarkan garapan puisi sasterawan tersohor itu.

"Satu lagi pameran berkumpulan, 11.11 melibatkan 26 artis yang akan diadakan pada 5 Januari sehingga 17 Januari nanti di Kuala Lumpur. Pada masa sama, saya juga berurusan dengan sebuah syarikat untuk pameran di Johor Bahru.

SEBAHAGIAN peserta cilik, Aisyah Raihan yang berusia 11 tahun mengikuti Warisseni di Putrajaya.

"Saya juga aktif mewujudkan Warisseni untuk 15 pelukis cilik berusia lima tahun hingga 11 tahun selain karya mereka turut dipamerkan di Children Art Exhibition di Parenthood, Sunway Putra mall,” ujarnya yang juga menjadi pembimbing seni peribadi.

Berkongsi mengenai resipi kejayaan dalam bidang seni, bicaranya, bakat yang ada dalam setiap insan adalah sesuatu yang luar biasa namun jika tiada usaha, ia tidak akan ke mana.

"Ini kerana minat, bakat dan usaha adalah kunci kejayaan bahkan prinsip tersebut menjadi tunjang utama hidup saya untuk mengembangkan lagi keupayaan seni sehingga ke seantero dunia.

"Nasihat saya, jangan malu untuk berkarya dan carilah kreativiti atau keunikan diri sendiri yang lain daripada lain supaya nilai seni dapat dimartabatkan,” katanya.

PROFIL AlengTohara

Nama sebenar: Abdul Jalil Toha @ Tohara

Umur: 45 tahun

Asal: Sabak Bernam, Selangor

Kerjaya:

Pelukis, penulis, ilustrator buku kanak-kanak dan penuntut sarjana

Tahap pendidikan:

Sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana Pengurusan Maklumat (Penyelidikan) UiTM

Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Maklumat UiTM

Diploma Pendidikan Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuantan Pahang

Pencapaian:

Pameran Lukisan berkumpulan bersama Art Market Malaysia, NASOM dan AvenueK Kuala Lumpur

Pameran Lukisan Berkumpulan bertemakan Alam dan Gurudi Balai Seni Negara Kuala Lumpur

Instagram: @alengtohara

Facebook: Aleng Tohara