BN-PH Perak bakal adakan konvensyen bersama

Iklan
Saarani (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

IPOH - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Perak akan mengadakan konvensyen pertama tahun 2024 pada 28 Januari nanti.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, konvensyen berkenaan akan membabitkan semua parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan di Perak.

Iklan
Iklan

"Tujuannya (penganjuran konvensyen), setelah setahun menubuhkan kerajaan bersama, kita mahu melihat semula apa kelemahan kita, apa kelebihan kita. Sudah tentu kita kenal pasti untuk membuat perancangan bagi menjadi kerajaan yang lebih baik dari setahun yang lepas.

"Jadi kita akan buat konvensyen itu. Saya akan menyampaikan ucaptama dan akan dibahaskan oleh pembahas-pembahas," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Iklan

Sementara itu mengenai Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, Saarani menjelaskan program tersebut merupakan kesinambungan program yang telah dimulakan kali pertama pada 8 Februari tahun 2022.

Menurutnya, sepanjang tempoh penganjuran 17 siri yang diadakan sejak 2022 hingga tahun lalu, sebanyak 2,356 aduan telah diterima dan daripada jumlah itu 2,280 atau 97 peratus aduan berjaya diselesaikan.

Iklan

"Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk terus menjadikan pendekatan turun padang sebagai salah satu tunjang pentadbiran kerajaan.

"Pendekatan inklusif ini membolehkan seluruh jentera pentadbiran berdepan sendiri dengan rakyat dengan mendengar serta menyelesaikan masalah mereka.

"Bagi memantapkan pelaksanaan Hari Bertemu Pelanggan, ia akan terus disusun secara penggiliran melibatkan semua daerah selain lokasi utama di Stadium Indera Mulia ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saarani turut mengingatkan pemilik tanah di negeri Perak bahawa tiada lagi bil cukai tanah dikeluarkan mulai 1 Januari 2024.

Sehubungan itu, semua pemilik tanah sangat digalakkan mendaftar sistem e-Tanah bagi mendapatkan status bayaran cukai dan menunaikan bayaran cukai bagaimanapun bayaran melalui kaunter pejabat tanah masih boleh dilaksanakan.