PENYANYI dan komposer terkenal, Hael Husaini akhirnya menamatkan penantian peminat dengan pelancaran album sulung, Antonim (Par 1) pada 5 Januari ini.
Album yang memuatkan enam buah lagu hasil ciptaan barisan komposer ternama tanah air seperti Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat serta Hael sendiri.
"Sepanjang tiga tahun, saya telah menghasilkan lebih kurang 20 buah lagu (demo) untuk album pertama ini dan setelah berbincang dengan pihak label serta pasukan saya, hanya 10 buah lagu sahaja telah disenarai pendek.
"Dalam album Antonim (Part I) terkandung lagu-lagu seperti Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra), di mana empat buah lagu daripada album ini telah dipilih kerana menjadi lagu tema My Famous Ex-Boyfriend, manakala dua lagi lagu yang belum pernah diperdengarkan kepada umum,” jelas Hael.
Tambah Hael, album pertama ini adalah signifikasi perjalanannya sepanjang 17 tahun dalam industri dan sudah lama diimpi untuk direalisasikan.
"Album sulung ini sangat penting buat karier saya kerana sudah lama saya cuba merealisasikannya, ianya impian terbesar saya dan banyak sangat cabaran serta kisah duka yang saya dan pasukan saya tempuhi.
"Setiap naskhah dalam album ini mempunyai jalan cerita dan kisah yang tersendiri, berlandaskan dari kisah benar. Malah ada juga yang bersifat dongeng serta kisah-kisah orang di sekeliling yang menjadi idea buat saya," katanya.
Dalam masa sama, Hael turut melancarkan video muzik Diam pada 22 Disember lalu.
"Lagu ini sangat dekat dengan persekitaran kita, ia merupakan satu luahan kekecewaan terhadap seseorang yang mengkhianati kita, orang yang berpura-pura suka terhadap kewujudan kita tetapi sedang berusaha untuk menjatuhkan kita dan ingin melihat hidup kita musnah," katanya.
Video muzik Diam boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Hael Husaini Official. Manakala album Antonim (Part 1) boleh dimuat turun di iTunes pada 5 Januari ini.