SHAH ALAM - Umat Islam dibolehkan menghadiri pengebumian orang bukan Islam dan hukumnya adalah harus.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setelah meneliti perbahasan para ulama, diharuskan untuk menghadiri pengebumian orang yang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.
Iklan
Iklan
"Namun perlu diingat, kita sebagai orang Islam diharamkan menghadiri upacara-upacara yang berkaitan dengan keagamaan mereka.
"Ia sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada kalangan mereka," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Hantaran berkenaan merujuk kepada perkongsian jawapan di laman sesawangnya, Maktabah al-Bakri.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menjelaskan, Imam al-Nawawi telah menyatakan dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa dibolehkan bagi kaum Muslimin mengiringi jenazah keluarganya yang kafir.
"Ini juga merupakan pendapat kebanyakan ulama. Al-Buhuti juga menyebut bahawa diharuskan untuk menziarahi kubur orang kafir dan berdiri di sisi kuburnya," katanya.