Langkah Dubai: Kerajaan Perpaduan tak perlu gusar

Iklan
Dari kiri: Mohd Suhaimi, Azman dan Afnan.

ALOR SETAR - Kerajaan Perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu gusar dengan dakwaan wujudnya Langkah Dubai untuk menggulingkan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, ini kerana kerajaan sedia ada memiliki majoriti dua pertiga dan ini merupakan kedudukan yang amat stabil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka tidak seharusnya goyah dengan ura-ura politik melainkan gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan berdepan konflik dalaman yang tidak diketahui umum.

"Mereka tidak perlu bimbang jika ada gerakan yang didakwa mahu ambil alih pemerintahan negara melainkan wujudnya pergolakan dalaman atau angin-angin perubahan yang kita tidak tahu.

Iklan

"Kemungkinan ia tercetus selepas tindak-tanduk pemimpin DAP yang menyentuh isu sensitif menyebabkan timbul rasa kurang selesa terhadap parti yang memperjuangkan agenda Melayu,” katanya di sini pada Khamis.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, bagaimanapun tiada maklumat berkaitan perbincangan Langkah Dubai yang didakwa digerakkan oleh parti-parti pembangkang.

Iklan

"Saya selaku pemimpin tertinggi parti tiada maklumat tentang desas-desus itu.

Menurutnya, intipati Langkah Dubai tidak pernah dibincangkan sehinggalah isu berkenaan hangat dibahaskan oleh pemimpin politik.

Sebelum ini, terdapat dakwaan berlaku pertemuan tertutup beberapa wakil rakyat PN serta dua pemimpin BN di Dubai seperti tular di media sosial.

Pertemuan tersebut didakwa dirancang bagi mendapatkan sokongan sebahagian ahli Parlimen BN serta Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk menarik sokongan orang Melayu khususnya UMNO untuk pembentukan kerajaan baharu.

Mohd Suhaimi tegaskan, selaku blok kedua terbesar parti Melayu ketika ini, Bersatu mungkin menjadi sasaran untuk dipersalahkan sekiranya wujud usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

"Nak tuduh siapa lagi? Kerajaan Perpaduan miliki dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat, mereka berada di kedudukan selesa, apa yang hendak ditakutkan?” soalnya.

Sementara Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkata, sekiranya seseorang ahli Parlimen menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, ia merupakan hak demokrasi.

"Jika berlaku pertukaran kerajaan dengan menarik balik sokongan, ia bukanlah pengkhianatan, sebaliknya tindakan tersebut dibenarkan mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam sebuah negara demokrasi, ahli Parlimen bebas menyokong sesiapa sahaja yang mahu dipilih sebagai perdana menteri,” ujarnya.

Azman mendakwa Anwar sendiri pernah mengambil sikap seperti itu sebelum ini.

"Anwar juga cuba raih sokongan ahli Parlimen pembangkang, menyebabkan lima ahli Parlimen dari Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar beberapa bulan lepas.

"Jika ada ahli Parlimen (kerajaan) yang hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar dan mencari alternatif lain yang lebih baik (dengan menyokong pembangkang), mereka digelar pengkhianat. Ini adalah sikap munafik,” ujarnya.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula menyifatkan hanya individu yang pernah menjatuhkan pihak lain akan sentiasa dalam dilema kerana bimbang dijatuhkan pihak lain.

"Saya tak tahu-menahu mengenai Langkah Dubai. Saya hanya bercuti dalam negeri (Kedah).

"Secara prinsipnya, orang yang pernah jatuhkan orang lain sahaja yang selalu berfikir orang lain pula akan jatuhkan dia,” katanya sinis.

Ketua Pemuda Pas itu tegaskan, mana-mana ahli Parlimen bebas untuk ‘melangkah’ ke parti lain selagi tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan mahupun Akta Anti Lompat Parti.

"Sesiapa sahaja bebas mahu melangkah ke mana-mana parti pun,” jelasnya.