Sinar Al-Jumu’ah, misi Ummah #GrandReset bermula esok

Iklan
Barisan panelis Sinar Al-Jumu'ah siri 1 menampilkan (dari kiri) Fazrul, Hussamuddin, Ustaz Shamsul Hakim dan Ustaz Faris.

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan program Sinar Al-Jumu’ah,"Jumaat kita lesu?”, sebagai pembuka tirai 2024 dalam membawa misi Surah Al-Jumu’ah untuk Ummah #GrandReset pada jam 11 pagi, esok.

Sinar Al-Jumu’ah merupakan program bual bicara yang disiarkan di platform Facebook dan YouTube QuranHour, Facebook Sinar Harian dan Sinar Islam Plus.

Iklan
Iklan

Orang ramai boleh mengikuti siaran tersebut pada setiap minggu pertama hari Jumaat, sebulan sekali di sepanjang 2024. Program sejam tersebut dirakamkan di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pengisian program yang memberikan pelbagai tema dengan berpandukan Surah Al-Jumu’ah disampaikan oleh moderator, qari, pentadabbur dan tokoh.

Iklan

Pentadabbur daripada golongan agamawan dan tokoh dalam pelbagai bidang memberi perkongsian dalam konteks masing-masing.

Marhaini

"WUIF melancarkan Misi Surah Al-Jumu’ah di sepanjang tahun 2024. Terdapat 52 kali Jumaat pada tahun ini untuk menjadikan Jumaat sebagai hari untuk melakukan Ummah #GrandReset.

Iklan

"Surah Al-Jumu’ah sebagai misi penting untuk Ummah #GrandReset. Keadaan dunia hari ini, penghakisan nilai dalam diri dan masyarakat disebabkan kesombongan, takut mati, hiburan dan perniagaan. Mereka menjadi hilang punca untuk menyelesaikan konflik yang berlaku.

"Reset harus berlaku di setiap lapisan masyarakat iaitu 3U - Ummah, Umara’, Ulama agar berlaku kesatuan, transformasi sosial dan penambahbaikan yang berterusan. Seterusnya kita harap dapat meraih kurniaan ALLAH iaitu al-Quran & Hadis; dan rezeki.”

Tambah beliau, berpandukan Surah Al-Jumu’ah, terdapat empat proses iaitu Tilawah – Membaca ayat-ayat ALLAH; Tazkiyah – Penyucian jiwa; Ta’alim – Menuntut dan mengajar ilmu al-Quran dan patuhi undang-undang dan garis panduan hidup; dan Hikmah –Mengajar Hadis dan mempraktikkan dalam kehidupan dengan kebijaksanaan.

"Hari Jumaat merupakan hari kebesaran bagi umat Islam dan istimewa di sisi ALLAH SWT bagi mendidik jiwa untuk membesarkan ALLAH SWT.

"Penambahbaikan diri dan masyarakat harus berlaku pada setiap minggu sehingga mampu melakukan perubahan yang lebih baik dan menjadi contoh kepada sekalian manusia.”

Siri pertama Surah Al-Jumu’ah menampilkan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail, sebagai hos; qari Ustaz Faris Hadi Taufiq; Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Mohd Shamsul Hakim Abdul Samad sebagai pentadabbur dan tokoh jemputan, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Penasihat Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Sementara itu, Marhaini turut mengalu-alukan sokongan dan kerjasama pihak rakan sinergi media seperti stesen televisyen dan radio untuk memberi ruang kepada Sinar Al-Jumu’ah pada 52 Jumaat bagi berkongsi maklumat dan konten Ummah #GrandReset kepada masyarakat dengan harapan untuk mencapai visi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah pada tahun 1500H /2079.

Selain Sinar Al-Jumu’ah, orang ramai boleh mengikuti perkongsian daripada pendakwah antarabangsa, Nouman Ali Khan bertajuk"Ummah #GrandReset” di Facebook dan YouTube QuranHour pada jam 8 hingga 9.30 pagi, esok.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook QuranHour.