Kenyataan jual tanah: Ketua Menteri Pulau Pinang saman Tan Kok Ping

Iklan
Chow Kon Yeow, Tan Kok Ping

GEORGE TOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping berhubung kenyataannya mengenai penjualan tanah negeri tahun lepas.

Kon Yeow berkata, tindakan saman fitnah itu diputuskan susulan tiada percubaan oleh Kok Ping untuk meminta maaf atau menarik balik kenyataannya.

Iklan
Iklan

"Peguam saya sudah mengestrak salinan writ dan pernyataan tuntutan berhubung kes tersebut petang semalam dan salinan itu akan disampaikan kepada Kok Ping berhubung kenyataan fitnah yang dibuat beliau semasa sidang media anjuran PCCC pada 18 Oktober tahun lepas,” kata Kon Yeow dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, Kok Ping telah menggunakan kapasitinya sebagai presiden kehormat seumur hidup PCCC untuk mengadakan sidang media berhubung perjanjian pembangunan bersama bertarikh 27 September tahun lepas untuk projek pembangunan yang dicadangkan antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan UMECH Land Sdn Bhd.

Iklan

"Walaupun penamatan perjanjian itu telah diumumkan oleh PDC kepada media dan orang ramai pada 16 Oktober tahun lepas, Kok Ping dengan sengaja membuat kenyataan fitnah dalam bahasa Mandarin semasa sidang media itu bertujuan untuk menyerang watak, kredibiliti, kecekapan dan keupayaan saya sebagai ketua menteri dan sebagai pengerusi PDC," katanya.

Kon Yeow mendakwa kenyataan fitnah itu kemudian dicetak dan diterbitkan dalam beberapa akhbar berbahasa Cina terkemuka.

Iklan

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah menetapkan pengurusan kes saman itu pada 24 Januari.

Bagaimanapun, percubaan untuk mendapatkan reaksi Kok Ping gagal.

Pada Oktober tahun lepas, Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang memutuskan sebulat suara supaya Kon Yeow memulakan prosiding undang-undang terhadap Kok Ping atas kenyataannya yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah ketua menteri.

Dilaporkan tahun lepas Kok Ping menuduh Kon Yeow sebagai"tidak cekap" kerana mengelak persoalan mengenai kontroversi penjualan tanah milik PDC di Byram kepada UMECH Land Sdn Bhd. - Bernama