Masalah nelayan sukar dapatkan subsidi petrol selesai

Iklan
Rizam (depan dua dari kanan) menunjukkan alat peranti baharu yang telah dipasang dan digunakan di sebuah stesen minyak di Bagan Nakhoda Omar pada Khamis.

SABAK BERNAM - Kira-kira 200 nelayan pesisir pantai sekitar Bagan Nakhoda Omar menarik nafas lega apabila alat peranti pembantu digital peribadi (PDA) yang rosak sudah diganti baharu bagi memudahkan mereka mendapatkan subsidi minyak petrol.

Rata-rata nelayan sebelum ini berdepan masalah mendapatkan minyak petrol bersubsidi kerajaan untuk kegunaan sampan berikutan alat peranti PDA di stesen minyak itu rosak sejak tiga bulan lalu.

Iklan
Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, kerosakan alat peranti itu menyebabkan nelayan terpaksa membeli minyak subsidi di stesen minyak yang jaraknya lebih jauh dari jeti dan penempatan penduduk.

"Saya difahamkan nelayan di sekitar Bagan Nakhoda Omar terpaksa mendapatkan minyak petrol sejauh 15 kilometer.

Iklan

"Ini sudah tentu memberi kesan kepada nelayan dari segi kos perjalanan, masa dan risiko lain," katanya ketika ditemui selepas meninjau pemasangan alat peranti PDA baharu di sebuah stesen minyak di Bagan Nakhoda Omar di sini pada Khamis.

Rizam yang juga Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna berkata, alat peranti itu diharap dapat memberi kemudahan kepada nelayan untuk turun ke laut seperti sebelum ini.

Iklan

Beliau memberitahu, kerosakan alat PDA di stesen minyak bukan hanya berlaku di DUN Sungai Air Tawar, tetapi di kebanyakan tempat di seluruh negara berikutan ia telah digunakan sejak lebih 10 tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan mengambil keputusan untuk menukar semua alat peranti lama kepada baharu bagi membolehkan ia terus berfungsi dengan baik.

"Saya juga difahamkan penggantian alat peranti di DUN Sungai Air Tawar yang pertama dilakukan di negara ini," tambahnya.

Rizam berkata, semua pemilik sampan di DUN Sungai Air Tawar menerima kira-kira 1,000 liter sehari subsidi minyak petrol.

"Setiap penerima layak mendapatkan subsidi petrol maksima sebanyak 50 liter setiap hari kecuali pada Jumaat," kata beliau

Sementara itu, seorang nelayan, Kaw Nang Buat, 62, berkata, kerosakan alat peranti itu sememangnya menyukarkan nelayan mendapatkan subsidi petrol.

Menurutnya, sebelum ini dia terpaksa ke sebuah stesen minyak di Sungai Burung atau ke Sungai Besar untuk mendapatkan minyak subsidi.

"Sekarang ini musim hujan, jadi jika jarak jauh sukar untuk saya ke sana lebih-lebih lagi saya hanya menunggang motosikal untuk dapatkan bekalan subsidi petrol.

"Sekarang ini, alat peranti sudah pulih dan saya sendiri senang untuk dapatkan subsidi bagi memudahkan saya keluar ke laut," katanya.