Atur gerak libat mangsa banjir calon SPM diselaras pegawai daerah

Iklan
Onn Hafiz Ghazi

KLUANG - Penyelarasan mengenai aspek keselamatan termasuk atur gerak melibatkan mangsa banjir dalam kalangan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan diselaraskan oleh pegawai daerah di lokasi terjejas.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hal ini bagi memastikan mangsa banjir yang perlu menghadiri peperiksaan yang akan diadakan tidak lama lagi itu, tidak ketinggalan atau tercicir untuk mendudukinya sekiranya bencana berkenaan berlaku secara berlarutan.

Iklan
Iklan

"Banjir berlaku libatkan peperiksaan bukan perkara baharu. Ada tahun-tahun sebelum ini sekolah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS). Bagaimanapun, kebijaksanaan pegawai daerah untuk atur gerak harap dapat dilaksanakan dengan baik.

"Hal ini bagi memastikan semua perkara berjalan dengan baik dan lancar. Penyelarasan ini akan dibuat di peringkat daerah," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di tapak projek Jalan"Glow In The Dark" di Jalan Simpang Renggam - Jalan Renggam di sini malam ini.

Iklan

Ujian Bertutur peperiksaan SPM bagi Bahasa Melayu akan dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Januari ini, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17 - 23 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Januari) serta peperiksaan bertulis (30 Januari hingga 7 Mac).

Setakat 8 malam tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,024 orang di 13 PPS berbanding 330 orang di tujuh PPS pada 2 petang.

Iklan

Empat daerah di Johor yang terjejas bencana berkenaan melibatkan Johor Bahru sebanyak 404 mangsa diikuti Kota Tinggi (348), Mersing (212) dan Kluang (60).

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata,segala persiapan bagi menghadapi situasi banjir telah mula dilaksanakan sejak November tahun lepas.

"Persiapan ini bukan sehari dua kita buat, kita telah bermesyuarat dari segi tindakan penyelarasan sejak November lagi, jadi segala keperluan insya-ALLAH setiap daerah di bawah kepimpinan pegawai daerah memang sudah buat persediaan yang rapi," katanya.

Beliau pada masa sama menasihati orang ramai supaya bersedia dengan segala kemungkinan dan mematuhi arahan pihak berkuasa agar keselamatan mereka sentiasa diutamakan.

"Dalam masa yang mencabar ini, sama-sama kita berdoa semoga tiada banjir yang besar kerana saya dimaklumkan bahawa air pasang tak akan berlaku dalam masa tiga, empat hari ini dan banjir akan berlaku bila hujan lebat ditambah dengan air pasang," katanya. - Bernama