DBKK siasat gambar tular mandi di kolam air pancut

Iklan

KOTA KINABALU - Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan siasat gambar dua individu dipercayai lelaki dan wanita sedang mandi sambil berpelukan dalam keadaan bogel di kolam air pancut di Jalan Gaya, dekat sini, yang tular di laman sosial.

Meskipun belum dapat dipastikan individu dalam gambar tersebut pelancong atau warga tempatan, namun, gambar menunjukkan aksi terlampau itu mengundang kemarahan netizen yang berpendapat ia tidak seharusnya berlaku kerana boleh mencemarkan imej Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.

Iklan
Iklan

Mayor DBKK, Datuk Nordin Siman berkata siasatan penuh itu termasuk untuk memastikan sama ada gambar berkenaan betul atau sebaliknya.

"Kami akan membuat siasatan rapi mengenai gambar tular melibatkan pasangan didapati mandi di kolam dekat Jalan Gaya dalam keadaan tidak berapa baik. Kami belum ada pengesahan mengenai gambar itu.

Iklan

"Bagaimanapun, DBKK akan terus peka mengenai isu seperti ini supaya ia tidak berulang di masa akan datang," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu kali ke-26, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Puspanita Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu Datin Surianih Basri.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Nordin berkata, DBKK sedang menunggu keputusan daripada kerajaan negeri berhubung larangan merokok di restoran dan premis makanan di Sabah sebelum sebarang penguatkuasaan dibuat di Kota Kinabalu.

Menurutnya, perbincangan dengan kementerian berkaitan telah diadakan, namun, pihaknya mengalu-alukan keputusan daripada kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan.

"Bagaimanapun, ini (larangan merokok) adalah satu inisiatif baik," katanya.

Larangan merokok di restoran dan premis makanan telah dikuatkuasakan mulai 1 Jan, namun, Sabah dan Sarawak masih menangguhkan pelaksanaan larangan itu sementara menunggu keputusan mesyuarat Kabinet negeri masing-masing.

Terdahulu, ketika berucap Nordin berkata, Puspanita berperanan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga DBKK dan isteri anggota jabatan selain menggalakkan perkembangan pengetahuan, kemahiran, dan persefahaman para anggotanya menerusi program ceramah atau lawatan dianjurkan.

Beliau yang juga Penasihat Puspanita Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu turut mengesa penjawat awam wanita DBKK menyertai persatuan berkenaan yang kini hanya mempunyai seramai 237 anggota.- Bernama