Jangan pandang negatif pondok belajar agama

Iklan
Kemudahan yang selesa membolehkan penghuni fokus belajar agama dan beribadat tanpa gangguan. Foto 123RF

DUA minggu lalu, rakan penulis berkesempatan mengunjungi sebuah pondok mengaji bagi menghantar kiriman seseorang untuk kira-kira 20 orang penghuni pondok berkenaan termasuk guru agamanya.

Kesemua yang menghuni kediaman tersebut adalah warga emas berumur 60 ke atas, malah yang paling tua sudah mencecah umur 80-an, namun mereka masih sihat, tiada penyakit kronik dan masih mampu menguruskan diri sendiri.

Iklan
Iklan

Lebih menarik, menurut rakan penulis, salah seorang penghuni tersebut yang merupakan ibu kepada sahabatnya memang memilih untuk tinggal di pondok mengaji tersebut sehingga akhir usia selepas kematian suaminya setahun lalu akibat Covid-19.

Yang mahu penulis kongsi di sini adalah persepsi masyarakat mengenai pondok seumpama ini termasuklah sekolah pondok untuk anak-anak.

Iklan

Ada yang positif, ada yang negatif mengenai penghuninya terutama dakwaan seperti meninggalkan ibu atau bapa yang sudah tua di situ kerana tak mahu menjaga mereka. Tak kurang juga yang setuju ia sebagai pusat pengajian agama bagi golongan warga emas semata-mata.

Kalau sekolah pondok pula, ada yang mengatakan ia sesuai untuk anak-anak ‘bermasalah’ untuk mendidik dan mendisiplinkan mereka.

Iklan

Penulis pernah menemu bual penghuni pondok warga emas dan mereka akui tinggal di situ tanpa paksaan sesiapa termasuk ahli keluarga.

Bukan juga kerana dibuang atau disisihkan oleh anak-anak, sebaliknya mereka sudah puas mengecap nikmat dunia dan kini mahu fokus kepada beribadat sahaja.

Selain itu, suasana di pondok itu juga seperti berada di rumah sendiri kerana pengurusan pondok kebanyakannya sedaya upaya menyediakan kediaman paling selesa dengan pelbagai kemudahan.

Ia bagi memastikan penghuni rasa tenang untuk menginap, seterusnya boleh fokus belajar agama dan beribadat tanpa gangguan.

Jika diikutkan, terdapat banyak pilihan pondok, malah ada yang sanggup ubah suai kediaman untuk dijadikan pondok seumpama itu dan tidak kurang juga membina sekolah pondok khas untuk anak-anak.

Contohnya di Kuantan, Pahang, sebuah resort terbiar di Cherating yang ditutup pada 2018 kerana masalah ekonomi berubah fungsinya selepas pemiliknya mengambil keputusan mahu memanfaatkan hartanya itu ke jalan agama.

Lokasi yang sebelum ini terbiar ditutupi semak-samun dengan struktur unit penginapan rosak kini telah dibersihkan.

Maka, wujudlah sebuah pondok pengajian agama untuk warga emas (Pondok Warga Emas At-Tahwil) yang diuruskan oleh Pertubuhan Amal At-Tahwil sejak 2021.

Sementara itu, Pengetua Pondok Ngaji Darul Furqan, Mohd Zaini Shafiai dalam laporan media sebelum ini berkata, berdasarkan sejarah sehingga awal merdeka, pondok merupakan institusi pengajian pen-didikan agama Islam.

Cuma katanya, sejak akhir-akhir ini pondok sering disalah tafsir apabila mendengar perkataan pondok sahaja, ramai membayangkan ia untuk orang tua sahaja.

Kalau dahulu, ia adalah tempat pendidikan Thurath (kitab warisan agamawan Islam berhubung akidah Islam) dan sebagainya.

Justeru, Mohd Zaini berkata, dia mahu membetulkan semula istilah pondok dan mengetengahkan sistem pendidikan Thurath yang pernah menjadi satu sistem pengajian yang menyelamatkan akidah dan kebanggaan ketika negara masih dalam tempoh penjajahan bangsa asing.

Pada pandangan penulis, fungsi pondok itu sendiri sangat bagus untuk dipelbagaikan. Selain aktiviti harian dapat dilakukan bersama-sama, penghuni-penghuni juga berpeluang solat berjemaah setiap waktu, kuliah subuh setiap hari, mengikuti kelas mengaji al-Quran, bacaan hadis serta kuliah.

Bukan sahaja golongan warga emas dapat mengisi masa terluang, malah alangkah baiknya jika diimarahkan bersama anak-anak kecil dan golongan dewasa.

Yang penting, pastikan peranan dan fungsi pondok itu tidak menyimpang atau disalah gunakan bagi tujuan lain.

* Norafidah Assan ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan/ Melaka