Tanaman abang bomba mula dituai

Iklan
Ahmad Naufal menunjukkan buah petola yang turut ditanam di belakang balai BBP Alor Setar.

ALOR SETAR - Selain pantas dalam operasi memadam kebakaran, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, di sini juga mempunyai kemahiran dalam projek pertanian bandar apabila tanaman diusahakan sejak tahun lalu sudah mula dapat dinikmati oleh mereka.

Projek yang diusahakan di tanah seluas 0.5 hektar di belakang balai itu kini telah dituai dan dijual kepada anggota dan jika ada lebihan pula akan dijual kepada rakan-rakan mereka.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah, projek pertanian berkenaan dilakukan untuk memberikan ruang kepada anggota yang sudah berusia dan tidak mampu menyertai aktiviti bersukan bersama anggota lain.

"Pertanian ini dilakukan pada waktu lapang dan jika anggota tiada operasi. Kaedah ini adalah satu cara untuk mengeluarkan peluh selain memanfaatkan kawasan yang ada di belakang balai ini. Bagi anggota yang lapang, mereka boleh datang menyiram pokok, membuang daun atau dahan yang sudah rosak di kebun tanaman ini.

Iklan
Serai antara tanaman yang sudah boleh dituai di BBP Alor Setar.

"Kami telah menanam 100 pokok pisang pelbagai jenis seperti pisang awak, nangka, tanduk dan emas yang kini sudah mengeluarkan buah," katanya semasa ditemui di BBP Alor Setar, di sini pada Khamis.

Jelas Naufal, antara tanaman lain yang diusahakan dan telah mengeluarkan hasil adalah seperti tanaman serai, ubi kayu, lengkuas, petola, tebu, buah tin dan buah Markisa.

Iklan

Menurutnya, selain tanaman, mereka juga memelihara 300 ekor ikan talapia merah di kolam yang dijadikan sumber pendapatan bagi anggota balai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, aktiviti tanaman di kawasan balai seperti BBP Alor Setar mendapat sokongan penuh pihaknya.

Anggota bomba BBP Alor Setar akan meluangkan masa di kawasan tanaman mereka jika tidak mempunyai operasi.

Menurutnya, BBP Pendang, Pokok Sena dan Kuala Nerang juga adalah antara yang aktif melakukan aktiviti pertanian di kawasan balai manakala dua lagi BBP iaitu Jitra dan Bukit Kayu Hitam dalam proses pembinaan semula projek pertanian bandar kerana memerlukan sedikit kewangan.

"Sebuah lagi BBP iaitu BBP Jalan Raja di bawah Zon 1 dikecualikan daripada projek pertanian ini disebabkan masalah lokasi yang agak terhad," ujar beliau.

Seorang anggota bomba BBP Alor Setar, Mohamad Haries Ismadi, 29, yang mempunyai sjil pertanian berkata, ilmu yang dimilikinya dapat dikongsi kepada anggota lain dalam mengusahakan projek pertanian bandar tersebut.

"Bagi hasil tanaman seperti buah pisang dan tebu, jika anggota tidak mahu kita ada tempat untuk dijual dan sekaligus pendapatan yang diperolehi dapat digunakan untuk kegunaan anggota di balai ini,” katanya.