'Demi anak, saya tak akan ulangi kesilapan edar dadah' - Penghuni penjara

Iklan
Mairin (tengah) ditemubual wartawan Sinar Harian ketika hadir pada Majlis Sambutan Jalinan Kasih Krismas Peringkat Penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu di Dewan Raflesia Sekolah Henry Gurney, Kapayan.

KOTA KINABALU - Demi ganjaran yang lumayan dan hasil diperoleh dalam tempoh masa yang singkat, seorang ibu muda sanggup melakukan 'kerja kotor' menjadi orang tengah untuk mengedar dadah tiga tahun lalu.

Disebabkan itu juga akhirnya wanita yang dikenali sebagai Mairin, 32, dimasukkan ke Penjara Wanita Kota Kinabalu atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis syabu sebanyak 50 gram.

Iklan
Iklan

Mairin berkata, walaupun dia pernah dimasukkan ke penjara sebanyak tiga kali sebelum ini tetapi hukuman yang diterimanya kali ini sangat berat apabila dikenakan penjara selama tujuh tahun.

"Saya terdesak mahu mendapatkan wang untuk menyara dua anak saya kerana ketika itu saya baru sebulan keluar daripada penjara.

Iklan
Nora ketika berucap pada Majlis Sambutan Jalinan Kasih Krismas Peringkat Penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu di Dewan Raflesia Sekolah Henry Gurney, Kapayan.

"Nasib tidak menyebelahi saya apabila dimasukkan semula ke penjara dengan hukuman yang lebih berat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menyedari kesilapannya yang lalu, Mairin bertekad untuk tidak terus mengulangi kesilapannya itu memandangkan kedua anaknya juga sedang membesar dan memerlukan perhatiannya.

Iklan

"Anak-anak memerlukan saya ketika ini dan saya tekad tidak mahu mengulangi kesilapan ini lagi. Malah anak sulung saya juga meminta saya tidak melakukan perkara itu lagi," katanya dengan hiba.

Mairin sebelum itu turut diberi peluang bertemu ahli keluarganya sempena Majlis Sambutan Jalinan Kasih Krismas Peringkat Penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu di Dewan Raflesia Sekolah Henry Gurney, di sini.

Mairin bersama kakaknya yang hadir sama dalam program itu sempat berduet menyumbangkan sebuah lagu bagi memeriahkan majlis.

"Ini kali pertama saya dapat menyambut perayaan Krismas bersama keluarga dan saya sangat terharu kerana mereka masih menyokong saya.

"Berkaraoke bersama ahli keluarga adalah salah satu aktiviti yang kami sering lakukan terutama ketika meraikan perayaan dan saya tidak menyangka kali ini berpeluang bergembira dengan mereka malah dapat menyentuh ahli keluarga dalam pertemuan kali ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Labuan, Nora Musa dalam ucapannya berkata, menerusi program Jalinan Kasih itu menunjukkan jabatan amat memerlukan kerjasama daripada ahli keluarga untuk memberi sokongan kepada penghuni di penjara.

"Melalui program ini penghuni masih dapat meraikan perayaan walaupun berada di tembok besi dan saya harap keluarga dapat terus memberikan sokongan kepada mereka yang ditempatkan di sini buat sementara waktu," katanya.