PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag telah mengadakan perbincangan bersama pemegang kepentingan minoriti baharu kelab itu, Jim Ratcliffe.
Kumpulan Ineos pimpinan Ratcliffe akan mengambil alih kawalan operasi bola sepak United sebaik sahaja pembelian 25 peratus saham dalam kelab Old Trafford itu selesai.
Jutawan Britain itu telah berada di Manchester untuk beberapa siri pertemuan dengan kakitangan kelab, termasuk Ten Hag yang telah dikritik hebat susulan prestasi hambar musim ini.
United tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara pada peringkat kumpulan serta Piala Liga dan ketinggalan sembilan mata di belakang empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris.
Ten Hag berada di bawah tekanan hebat selepas 14 kekalahan musim ini, namun jurulatih Belanda itu berkata pertemuan pertamanya dengan Ratcliffe berjalan lancar.
"Saya fikir dari kedua-dua pihak ia adalah pertemuan yang sangat membina dan kami berharap dapat bekerjasama dengan mereka," katanya.
United akan bertandang ke Wigan dalam pusingan ketiga Piala FA Isnin ini dan kekalahan mengejut kepada pasukan divisyen tiga itu akan menambah tekanan kepada Ten Hag.
Salah satu daripada banyak isu yang melanda Ten Hag adalah masa depan pemain sayapnya, Jadon Sancho.
Penyerang England itu tidak beraksi sejak Ogos selepas bertengkar dengan ten Hag selepas dia digugurkan untuk perlawanan di Arsenal.
Sancho dikatakan hampir menyertai semula Borussia Dortmund secara pinjaman sehingga akhir musim ini.
"Saya tidak boleh mengatakan apa-apa tentang perkara tersebut. Kami perlu menunggu dan melihat bagaimana keadaan berlaku dan apabila kami mendapat berita sudah tentu kami akan memberitahu anda," katanya.