Insentif pemandu teksi, pengusaha bas sekolah dibayar 'one off' tahun ini

Iklan
Bayaran insentif kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah sebanyak RM600 bagi tahun ini akan dibuat secara 'one off'. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Zairil)

GEORGE TOWN - Bayaran insentif kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah sebanyak RM600 bagi tahun ini akan dibuat secara 'one off' (sekali gus).

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, bayaran akan dilakukan kepada semua pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah yang memenuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permohonan akan dibuka sepanjang tahun dan bayaran pertama akan dilakukan pada Mac ini bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima.

"Syarat kedua pula, pemohon perlu berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah yang bekerja sendiri.

Iklan

"Senarai penuh syarat-syarat boleh dilayari di laman sesawang i-Sejahtera https://isejahtera.penang.gov.mysyarat.php," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zairil berkata, Skim SKSPS bagi mereka yang bekerja sendiri adalah wajar diwajibkan kepada semua pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah.

Iklan

"Perkara ini disyaratkan demi membantu semua pemandu teksi agar sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, sekurang-kurangnya pemandu teksi mempunyai perlindungan insurans.

"Sebagai maklumat tambahan, mulai tahun ini juga, pencarum hanya perlu membayar 10 peratus sahaja daripada jumlah caruman berikutan 90 peratus lagi telah dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2024," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri mula menyalurkan sumbangan insentif kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah sejak 2013 yang mana, tahun ini merupakan tahun ke 11 insentif itu dilaksanakan.

"Sejak 2013 hingga tahun lalu, jumlah keseluruhan insentif yang telah disumbangkan kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah berjumlah RM16.56 juta.

"Jumlah kumulatif bantuan kewangan sebanyak RM600 ini adalah berbentuk tunai yang mana pembayaran adalah dilakukan sebanyak dua kali setahun iaitu RM300 pada Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Tambahnya lagi, ketika negara dilanda pandemik Covid-19 pada 2020, bayaran telah dilakukan secara bayaran terus ke akaun melalui pindahan wang elektronik (EFT).

"Pada tahun 2022, mod bayaran insentif ini telah dinaiktaraf dan ditambah baik dengan menggunakan sistem iSejahtera.

"Permohonan dibuat oleh pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah secara dalam talian sahaja tanpa perlu mengemukakan borang permohonan dan lain-lain dokumen secara fizikal, sebaliknya hanya perlu kemukakan secara dalam talian sahaja," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap sumbangan insentif tersebut dapat mengurangkan beban yang dihadapi pemandu teksi dan pengusaha bas di Pulau Pinang.

"Kerajaan negeri juga berharap semua pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah di Pulau Pinang dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pengguna," katanya.