HARI ini hari kelima pada tahun baru 2024. Andai direzekikan usia yang panjang, dapatlah kita menghirup nafas sehingga 360 hari yang berikutnya, insya-ALLAH.
Bagai menjadi satu kemestian setiap awal tahun semua orang akan menyemai deretan azam untuk dituai sepanjang 12 bulan berikutnya.
Namun, mungkin ada kalangan kita yang masih mengusung segunung impian tahun lepas, dengan cuba menaruh harapan sebagai satu misi baharu pada tahun ini, atau ada yang masih terkial-kial tidak keruan untuk mencari azam baru yang yang patut dipasakkan?
Sinar Islam mendapatkan pandangan Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh, Seerah, Akhlak dan I’jaz Al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman tentang ‘azam dan iltizam’.
"Namun tidak salah untuk meletakkan satu keazaman tatkala tiba awal tahun, bahkan ia sesuatu yang mulia selagi mana individu itu berazam atau berniat melakukan perkara yang baik untuk kehidupannya,” ujarnya.
Dr Sukki memadankan pandangannya itu berdasarkan sebuah hadis, daripada Amirul Mukminin Umar Al-Khattab RA katanya: " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:"Bahawasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada ALLAH dan Rasul-NYA, maka hijrahnya itu adalah kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai’e, Ibn Majah dan Ahmad)
Matlamat terancang
Niat ialah azam dan kehendak. Dr Sukki berkata, untuk melakukan sesuatu memerlukan niat, dari niat membentuk matlamat, matlamat yang jelas dan terancang akan menyenangkan kita akan mengerjakan segalanya dengan sempurna. Sebaliknya, kalau tiada matlamat atau visi kita sekadar mengerjakannya secara semberono.
"Namun tidak dinafikan, terdapat sesetengah situasi di mana individu itu sudah lengkap niatnya tetapi terkandas di tengah jalan kerana gagal beristiqamah. Ini adalah ujian buat manusia. Sangat sukar untuk kekal konsisten, namun percayalah istiqamah adalah sesuatu yang penting," katanya.
Seorang sahabat Nabi, Sufyan bin Abdillah as-Tsaqafi pernah bertanya Baginda Rasul, katanya: "Wahai Rasulullah SAW, katakanlah suatu perkataan kepadaku tentang Islam, sehingga aku tidak perlu lagi bertanya kepada siapa pun selain engkau." Baginda bersabda,"Katakan, aku beriman kepada ALLAH SWT lalu beristiqamahlah." (Hadis Riwayat Ahmad)
Bahkan ALLAH SWT juga mengingatkan kepada umat manusia agar sentiasa beristiqamah, sebagaimana firman-NYA di dalam Surah Hud, ayat 112 yang bermaksud: "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum ALLAH; sesungguhnya ALLAH MAHA MELIHAT akan apa yang kamu kerjakan.”
Sehubungan itu, bagi mengekalkan mood dan momentum istiqamah, Dr Sukki berkongsi beberapa tip yang boleh diamalkan sepanjang 2024 ini dan tahun-tahun berikutnya.
"Antara caranya adalah sentiasa menghadirkan diri ke majlis ilmu dan dibekalkan dengan peringatan demi peringatan oleh sahabat yang prihatin.
"Firman ALLAH di dalam surah Adz-Dzariyat, ayat 55 yang bermaksud: "Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman."
"Sentiasalah berdamping dengan orang yang baik baik, dapatkan sokongan teman teman dan carilah suasana yang positif. Dari situ kekuatan akan datang.
"Ujian sudah pasti hadir, kerana kehidupan ini penuh dengan ujian. Namun jangan lupa, ujian itulah akan mematangkan, meningkatkan kekuatan dan ketabahan untuk melaksanakan apa yang diazamkan di awal tahun ini untuk direalisasikan sampai ke hujung tahun,” tutur beliau menoktahkan kalam.