PASIR SALAK - Litar Dato' Sagor dekat Kampung Gajah di sini diberi 'wajah' baharu dengan tumpuan peningkatan spesifikasi keselamatan mengikut standard ditetapkan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
Pembaharuan yang ditekankan itu bagi mengelak kejadian kemalangan tidak diingini berlaku bukan sahaja kepada peserta, malah pengunjung di litar lumba terbabit.
Pengurus Litar Dato' Sagor, Fairuddin Rastam berkata, sejak mengambil alih pengurusan di situ Oktober lepas, lebih RM400,000 telah dibelanjakan bagi penyelenggaraan penuh trek litar sepanjang 1.2 kilometer.
Menurutnya, penambahbaikan yang dilakukan termasuklah pemasangan penghadang yang lebih sesuai iaitu menggunakan tayar dan bongkah polisterina (foam board) bertujuan mengurangkan impak kepada pelumba sekiranya berlaku pelanggaran.
"MAM turut meminta agar tempat duduk penonton dilengkapkan dengan sistem keselamatan lebih bersistematik bagi mengelak pengunjung berlari ke tengah litar.
"Bagi menambah ciri keselamatan itu, kita turut memasang pagar di sekeliling kawasan litar ini serta mewujudkan bilik rawatan dengan pegawai kesihatan bertauliah melalui perjanjian panel bersama syarikat ambulans swasta," katanya semasa tinjauan pemberita di sini pada Rabu.
Fairuddin yang memiliki pengalaman 20 tahun dalam pengurusan trek motocross berkata, pihaknya juga dalam proses membuat penukaran baharu tempat kereta (paddock) untuk kegunaan lebih selesa pasukan pelumba.
Katanya, dalam kejohanan sebelum ini, peserta hanya dipasangkan khemah menyebabkan kebasahan terutama apabila hujan lebat.
"Penyelenggaraan awal yang dilakukan ini sudahpun mencapai kelulusan pemeriksaan keselamatan MAM untuk menggunapakai semula litar ini.
"Tambahan pula litar ini telah diinsurankan, makna kata ianya lebih selamat kepada pengunjung dan peserta yang mengambil bahagian dalam perlumbaan di sini," katanya.
Selaku pihak operator, beliau berharap, suntikan wajah baharu yang dilakukan itu dapat mengembalikan kegemilangan Litar Dato' Sagor dalam kejohanan sukan permotoran di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Ujarnya, bulan lalu litar tersebut telah dipilih sebagai lokasi penganjuran Motul Championship 2023 - siri 3 dan 4 anjuran Kelab Sukan Bermotor Lasak Perdana dengan penyertaan 50 pelumba dari dalam dan luar negara.
Terbaru, litar tersebut akan menjadi tuan rumah bagi pembukaan siri kejohanan sama yang dijadualkan antara Februari dan Mac depan sempena Tahun Melawat Perak 2024.
"Sekarang ni pun ramai yang menghubungi semula untuk tempahan slot mengadakan perlumbaan dan kejohanan.
"Ini satu perkembangan positif bahawa orang ramai terutama pasukan-pasukan pelumba masih memberi keyakinan terhadap keupayaan dan keselamatan litar ini," katanya.
Litar Dato' Sagor sebelum ini telah ditutup susulan kematian seorang penonton akibat dirempuh kereta lumba yang gagal mengawal kenderaan semasa menghampiri garisan penamat.
Dalam kejadian pada 31 Disember 2022 itu, mangsa yang juga pengusaha bengkel kenderaan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.
Litar Dato' Sagor mula menjadi perhatian apabila mampu melahirkan jaguh dunia, Khairul Idham Pawi yang menjuarai Kejohanan Motosikal Dunia di Litar Termas De Rio Hondo, Argentina pada 2016.
Khairul Idham yang ketika itu berusia 17 tahun anak kelahiran Kampung Gajah menjadikan litar tersebut sebagai tempat permulaan latihan.