KUANTAN - Majlis Sukarelawan Bencana Negara (MSBN) melancarkan Unit Sukarelawan Bencana peringkat negeri sebagai langkah kesiapsiagaan untuk digerakkan ke lokasi terjejas bagi membantu mangsa bencana.
Pengerusi Jawatankuasa MSBN, Datuk Zuhairi Ab Kadir berkata, usaha itu bagi menarik penyertaan badan sukarela dan individu untuk terlibat dalam misi bantuan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, bencana bukan hanya melibatkan banjir semata-mata, tetapi kebakaran hutan, kemalangan, pesawat terhempas, bangunan runtuh, tanah runtuh serta tsunami yang memerlukan tindakan penggemblengan tenaga ekstensif.
"Usaha ini secara tidak langsung dapat mewujudkan kerjasama bersepadu melibatkan semua agensi kerajaan di peringkat pusat, negeri dan daerah apabila khidmat sokongan diperlukan.
"Latihan intensif akan dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pihak terlibat sebagai persediaan menangani bencana.
"Kesiapsiagaan cukup penting untuk diterapkan kepada masyarakat supaya menjadi satu budaya memastikan perlindungan serta bantuan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain berkhidmat kepada masyarakat, Unit Sukarelawan Bencana itu digalakkan memberi sumbangan termasuk keperluan asas seperti makanan, pakaian, kewangan dan perubatan kepada mangsa bencana yang memerlukan.