ILKAY Gundogan menjaringkan penalti pada masa kecederaan untuk membolehkan Barcelona mengatasi Las Palmas 2-1 dalam aksi La Liga pada awal pagi Jumaat.
Skuad kendalian Xavi Hernandez itu amat memerlukan kemenangan selepas pendahulu Real Madrid dan Girona mencatatkan kemenangan pada Khamis meninggalkan kelab Catalan itu tujuh mata di belakang dua pasukan tersebut.
Athletic Bilbao berada di tempat keempat selepas kemenangan 2-0 di Sevilla manakala Atletico Madrid di tempat kelima berikutan kekalahan dramatik 3-4 kepada Girona.
Barca terlebih dahulu ketinggalan menerusi bekas penyerang Blaugrana Munir El Haddadi pada minit ke-12.
Ferran Torres menyamakan kedudukan buat Barcelona pada separuh masa kedua dan Gundogan menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti selepas dia dikasari dalam kotak penalti oleh pemain lawan.
Barcelona mula menunjukkan taring pada separuh masa kedua selepas beberapa pertukaran dilakukan antaranya memasukkan Joao Felix, Lamine Yamal dan Vitor Roque serta mengeluarkan Robert Lewandowski.
"Pada separuh masa pertama mereka mempunyai dua atau tiga peluang tetapi pada separuh masa kedua mereka hanya mendapat satu sepakan sudut.
"Saya rasa kami melakukan pertukaran yang baik dan ia telah membuahkan hasil. Ferran sentiasa menampilkan aksi terbaik untuk pasukan.
"Terdapat banyak persaingan dan akan ada minit permainan untuk semua pemain," kata Xavi